Kuala Lumpur: Kerajaan Negeri Sabah melalui SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) akan memperoleh 25 peratus pegangan dalam kemudahan Gas Asli Cecair Terapung (ZLNG) bernilai USD3.1 bilion di Sipitang, susulan pemeteraian Perjanjian Dasar Induk (HOA) dengan Petronas di Malaysia Petroleum Club (MPC), di sini, Rabu.
“Kerjasama ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memastikan matlamat pembangunan jangka panjang Sabah, memacu pertumbuhan industri dan keselamatan tenaga serta mewujudkan peluang baharu untuk kemajuan negeri.
“Menerusi pelaburan strategik seperti ZLNG, kita akan memperkukuh daya tahan ekonomi negeri, sambil memastikan hasil sumber asli Sabah memberi manfaat terus kepada kesejahteraan rakyat,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, yang menyaksikan majlis pemeteraian itu.
Kemudahan ZLNG yang terletak di kawasan pesisir Sipitang itu mempunyai kapasiti dua juta tan setahun (MTPA) dan sedang dalam pembinaan. Ia dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2027.
Projek ini melengkapkan kehadiran industri LNG Sabah yang semakin berkembang, selari dengan dua lagi kemudahan LNG terapung sedia ada iaitu PFLNG1 (1.2 MTPA) dan PFLNG2 (1.5 MTPA) yang kini beroperasi di perairan Sabah.
Kerajaan Negeri turut mengumumkan hasrat untuk memperoleh 40 peratus kepentingan penyertaan dalam PFLNG1 melalui SMJ Energy, dengan proses ketekunan wajar dijadualkan bermula pada separuh kedua 2025.
Sejak menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) bersama Petronas pada Disember 2021, SMJ Energy telah mencatatkan pertumbuhan pesat. Syarikat itu kini memiliki 50 peratus ekuiti dalam aset pengeluaran minyak Samarang PSC, 10 peratus dalam LNG9, 25 peratus dalam kompleks petrokimia Samur dan pemilikan penuh ke atas Sabah International Petroleum (SIP) yang mengendalikan aset FPSO dan FSO.
Dalam sektor cari gali, SMJ Energy juga mempunyai hak pembiayaan percuma dan opsyen penglibatan semula (back-in rights) dalam blok SB409 (20 peratus), SB403 (20 peratus), SB306A (15 peratus) dan SB306B (15 peratus).
“Kami adalah pelabur kewangan yang berhemah dengan pendekatan berdisiplin dalam pembinaan portfolio. Penyertaan kami dalam ZLNG adalah sebahagian daripada pelan strategik untuk mempelbagaikan dan memperkukuh kedudukan kami dalam sektor huluan, LNG dan petrokimia.
“Peluang ini sejajar dengan mandat kami untuk menjana aliran tunai yang stabil dan mampan dalam jangka panjang daripada aset berkualiti tinggi dan berkeuntungan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy, Datuk Dr Dionysia Kibat.
Hasrat Sabah dalam sektor hiliran juga menunjukkan perkembangan ketara. Sabah Energy Corporation (SEC), sebagai pengumpul dan pengedar gas negeri, memainkan peranan utama dalam memastikan bekalan gas domestik yang stabil untuk industri tempatan.
Antara projek ikoniknya termasuk pembekalan gas kepada loji keluli hijau milik E-Steel bernilai RM31 bilion yang terletak di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip), pelaburan utama yang menyokong usaha pempelbagaian industri di Sabah.
Majlis turut dihadiri Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz; Menteri Kewangan Sabah merangkap Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh.