SOOK: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata akses kepada kemudahan kesihatan yang selesa dan selamat adalah hak setiap warganegara, tanpa mengira sama ada mereka tinggal di kawasan bandar atau luar bandar.
Beliau berkata penaiktarafan Klinik Desa merupakan bukti komitmen kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan primer dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, khususnya di luar bandar.
“Usaha menaik taraf bangunan ini bukan sekadar pembaikan fizikal tetapi juga lambang keprihatinan kerajaan dalam memastikan petugas kesihatan dapat bekerja dalam persekitaran yang kondusif,” katanya ketika merasmikan Bangunan Klinik Desa Kampung Marapok yang dinaik taraf dengan kos RM700,000 di sini, pada Khamis.
Beliau berkata usaha ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti turut dinikmati oleh penduduk luar bandar.
James yang juga Exco Kesihatan Sabah berkata klinik desa sejak sekian lama menjadi nadi sistem kesihatan primer di negara ini.
Katanya, klinik terbabit bukan sahaja menyediakan rawatan asas, malah memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan ibu mengandung dan kanak-kanak, selain memperkukuh budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
“Saya percaya dengan kemudahan yang lebih baik ini, petugas kesihatan akan lebih bersemangat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, manakala komuniti pula akan lebih selesa untuk datang mendapatkan rawatan dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala,” katanya.
Beliau menyeru seluruh komuniti Kampung Marapok dan kawasan sekitarnya untuk terus memberikan kerjasama baik kepada petugas kesihatan serta bersama-sama menjaga kemudahan yang telah disediakan kerana ia merupakan aset komuniti yang sangat berharga.
Klinik Desa Merapok di kawasan Dun Tulid kini beroperasi sepenuhnya dengan wajah baharu selepas melalui proses penaiktarafan menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan.
Projek pembinaan klinik ini yang bermula pada 1 April tahun lalu siap sepenuhnya pada 26 Oktober tahun sama dan mula beroperasi pada 15 Disember.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng; Timbalan Setiausaha Tetap (Sektor Dasar dan Pengurusan) Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Henry Idol; Pakar Kesihatan Awam, Dr Muhammad Jikal; Pegawai Daerah, Caroline Benjamin Jiungan; Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau, Dr Valentine @ Japulee Gantul serta Ketua Polis Daerah, Superintenden Yampil Anak Garai.