SEMPORNA: Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah menahan lapan individu yang disyaki menyeludup masuk hasil laut dari negara jiran.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata hasil maklumat awam, pasukan marin berjaya mengesan dan menahan empat bot di perairan Pulau Sibangkat, di sini, pada jam 6.30 pagi, Khamis lalu.
“Lapan warga asing berusia antara 17 hingga 40 tahun ditahan kerana cuba menyeludup masuk hasil laut dari Filipina. Turut dirampas ialah 824 ekor udang lipan dan udang kara.
“Semasa pemeriksaan, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen daripada Jabatan Perikanan,” katanya sambil menambah, nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM116,290.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.
Dalam operasi berasingan, Marin berjaya menggagalkan cubaan menyeleweng Minyak Sawit Mentah (CPO) dengan penahanan seorang lelaki dan rampasan sebanyak 600 liter CPO.
Turut disita ialah sebuah lori yang membawa tangki dan tong berisi CPO dalam operasi bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu.
Barang rampasan dianggarkan bernilai RM124,100.
Mohd Nazri dalam kenyataannya pada Jumaat menegaskan bahawa Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah akan terus komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan.