SEMPORNA: Sebuah bot yang membawa sembilan orang hampir karam selepas mengalami kebocoran dekat Pulau Sebangkat, pada Sabtu.
Difahamkan, kesemua sembilan lelaki itu dalam perjalanan pulang daripada menangkap ikan apabila bot mereka dipukul ombak dan mengalami kebocoran pada jam 11.37 pagi.
Enam daripada mereka terpaksa berpaut pada bot untuk mengelakkannya daripada tenggelam, manakala tiga lagi kekal berada di atas bot dan cuba menutup kebocoran menggunakan tangan dan pakaian.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Semporna Leftenan (PA) Mohd Hasran Jaafar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian menerusi talian MERS999 dan mengerahkan empat anggotanya ke lokasi menggunakan bot.
“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke bot penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut Mohd Hasran, operasi terbabit turut dibantu oleh polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Semua mangsa dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Semporna pada jam 2.15 petang. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.