RANAU: Seorang lelaki cedera selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) di Taman Paragliding Ranau, Jalan Kompleks Sukan Ranau, tengah hari Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Rantey Fred berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari sebelum panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 12.59 tengah hari.
“Seramai tujuh anggota bomba diketuai Komander Operasi, PBK I Becket Gumat, dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati seorang lelaki berusia 30 tahun mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika bersiap sedia untuk berlepas dari kawasan berkenaan.
“Mangsa dilaporkan tersasar sebelum terjatuh ke dalam semak namun keluar sendiri sebelum pasukan penyelamat tiba,” katanya.
Menurut Rantey, mangsa diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.
“Selepas memastikan kawasan selamat dan tiada bahaya susulan, operasi ditamatkan pada jam 1.31 petang,” katanya.
Kejadian itu berlaku ketika fenomena angin kencang di daerah ini mula reda, menyebabkan sebilangan penggemar sukan udara mengambil peluang untuk melakukan aktiviti luncur angin.
Rantey turut menasihati orang awam agar mengutamakan keselamatan dan mengehadkan aktiviti luar buat sementara waktu, selain memastikan kanak-kanak sentiasa diawasi ketika berada di luar rumah.
“Sekiranya orang awam melihat atau mengetahui sebarang situasi berbahaya di kawasan mereka, sila maklumkan kepada pihak berkuasa. Hubungi kami melalui talian kecemasan 999 atau terus ke Balai Bomba Ranau di talian 088-878779. Kami sentiasa bersedia membantu,” katanya.