Kota Kinabalu: Seorang ibu berharap pihak polis dapat merungkai apa sebenarnya yang berlaku sehingga anak perempuannya berusia 13 tahun ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang, selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama Sekolah Menengah Agama Tun Datu Mustapha di Kinarut, pada Rabu lalu (16 Julai).
Zara Qairina Mahathir dari Sipitang ditemui dengan kecederaan parah pada pukul 3 pagi dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada esoknya. Jenazahnya dikebumikan pada hari yang sama.
Noraidah Lamat, 45, seorang ustazah, berkata dia telah memberi kerjasama penuh kepada polis dan sudah dua kali dipanggil untuk memberi keterangan.
Katanya, dia memilih untuk tidak mengulas lanjut memandangkan kes itu masih dalam siasatan.
Menurut Noraidah, Zara sentiasa bersamanya dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik atau perubahan tingkah laku sebelum kejadian.
“Zara sendiri memilih untuk belajar di sekolah agama berasrama di Papar kerana itu adalah keinginannya. Dia lihat ramai kawan tinggal di asrama dan dia mahu merasai pengalaman itu.
“Dia juga mencontohi saya kerana saya pernah tinggal di asrama dahulu. Sebab itu, Zara mahu mengikuti kerana dia selalu bayangkan keseronokan tinggal bersama kawan-kawan di asrama,” katanya
Noraidah mengakui agak sukar untuknya bersetuju dengan pilihan sekolah Zara di Papar kerana mereka tidak pernah berpisah, kecuali ketika dia bersekolah menengah di sekolah Papar.
“Awalnya memang berat hati saya hendak lepaskan Zara dan tinggal di asrama apabila sesi persekolahan bermula Februari lalu.
“Saya selalu teringatkan dia. Tidak tenang hati saya dan saya sering risau. Saya rindu dia, tetapi iyalah, inilah yang dia mahu,” katanya, sebak.
Noradiah berkongsi bagaimana Zara sering meminta kek kegemarannya, “kek batik”, setiap kali pulang ke rumah.
Sebelum kembali ke asrama, Noraidah menyediakan kek tersebut dalam beberapa bekas — satu untuk Zara dan selebihnya untuk rakan-rakan asramanya.
Zara pulang ke rumah pada Sabtu (12 Julai) dan memaklumkan akan kembali ke asrama pada petang Ahad (13 Julai).
“Makanan terakhir yang dia sediakan ialah roti telur, bukan saja untuk saya tetapi untuk seluruh keluarga sebelum dia balik ke asrama,” katanya.
Noraidah enggan mengulas sama ada anaknya pernah mengadu tentang sebarang masalah atau individu tertentu di sekolah.
Dia menerima kunjungan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, dan Pengarah Yayasan Sabah merangkap Adun Kawang, Dato’ Sri Ghulam Haidar Khan Bahadar di rumahnya di Kg Kalamauh, Mesapol, pada Isnin.
Dr Mohd Arifin, yang juga Exco Pendidikan Negeri, menyampaikan cek replika bernilai RM10,000 daripada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), selain sumbangan peribadi beliau, Ghulam dan Dr Yusof.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; dan Timbalan Ketua Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Datuk Ustaz Malai Ali Malai Ahmad juga menyampaikan sumbangan mereka melalui wakil masing-masing.