PUTATAN: Kegusaran lebih 300 penduduk Kampung Serigai dan Jalan Indah yang tinggal di tanah rizab kerajaan berakhir, apabila kawasan itu kini dalam proses pewartaan rizab kampung.
Berita baik itu mengakhiri penantian penduduk sejak lebih 50 tahun lalu yang sebelum ini sentiasa dalam kebimbangan kerana khuatir diarahkan berpindah dari kawasan itu.
Wakil rakyat Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Sahari berkata inisiatif pihaknya itu telah disokong oleh Pengelasan Guna Tanah (LUC) Rizab Kampung serta Pemegang Amanah Desa Kampung.
“Saya sudah periksa kawasan seluas dua ekar ini, termasuk mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan dan mendapati tiada sebarang perancangan pembangunan oleh kerajaan di kawasan ini.
“Sekarang, sedang menunggu proses (kelulusan rizab kampung) dan dijangka akan selesai dalam enam bulan. Penduduk juga jangan risau kerana cadangan ini tetap akan diluluskan.
“Sebagaimana kes sama saya urus sebagai wakil rakyat Petagas di Kampung Ulu Putatan sebelum ini yang turut mengalami proses sama, akhirnya walaupun bertukar kerajaan waktu itu, ia tetap diwartakan sebagai rizab kampung,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Pewartaan Tanah Kampung bagi kawasan Serigai dan Jalan Indah di Masjid Al-Amin Serigai, di sini, Selasa.
Awang yang juga Pengerusi Qhazanah Technologies Sdn Bhd berkata terdapat dua lagi kawasan yang dikategorikan sebagai penempatan setinggan akan turut dibantu untuk inisiatif sama dalam masa terdekat.
Katanya, pihaknya akan melawat kawasan terbabit dan pada masa sama akan turut mendapatkan informasi sekiranya kerajaan mempunyai sebarang perancangan pembangunan di kawasan itu.
“Jika tiada apa-apa perancangan pembangunan kerajaan di masa depan atau pun tiada sebarang pertindihan permohonan, kita juga akan berusaha mencadangkan kawasan itu sebagai rizab kampung.
“Ini bagi memastikan rakyat hidup dalam kesejahteraan dan tenang tanpa khuatir akan diarah berpindah sedangkan mereka sudah tinggal lama di kawasan tersebut,” katanya.