Kota Kinabalu: Ketua Srikandi Bersatu Sipitang, Dayang Syafiqah Abdul Hamid menggesa siasatan bebas dijalankan berhubung kematian Zara, yang ramai syaki sebagai mangsa buli.
Syafiqah, yang juga aktivis belia Sabah, mencadangkan penubuhan pasukan petugas khas yang melibatkan polis, Jabatan Peguam, Kementerian Pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina, bekas murid SK Pantai Sipitang,” katanya dalam kenyataan.
“Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku di mana-mana institusi pendidikan. Ini bukan isu disiplin biasa, ini jenayah dan harus ditangani sebagai jenayah,” tegas Syafiqah yang juga Naib Pengerusi Imam Sabah.
Beliau menggesa kerajaan mempercepatkan penggubalan undang-undang anti-buli yang komprehensif, yang bukan sahaja mentakrifkan buli dalam pelbagai bentuk — fizikal, lisan, emosi, siber dan berasaskan kuasa — tetapi juga menetapkan hukuman progresif yang merangkumi sesi kaunseling hingga ke penjara.
Menurut Syafiqah, Malaysia masih belum mempunyai undang-undang khusus berkaitan buli, dan kes-kes seumpama itu hanya ditangani di bawah pelbagai peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Kanun Keseksaan, Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Pendidikan 1996.
“Kekosongan perundangan ini menyebabkan banyak kes tidak dipandang serius,” katanya.
Syafiqah turut menggesa pengetatan protokol keselamatan di sekolah dan asrama, audit berkala oleh pihak bebas, latihan wajib kepada semua pendidik dan kakitangan serta penempatan pakar psikologi di setiap daerah.
“Sudah tiba masanya untuk menghentikan budaya berdiam diri dan melindungi pelaku.
“Sistem pendidikan seharusnya mendidik, bukan menindas,” tegasnya.