SANDAKAN: Lima individu termasuk jurutera dan penolong jurutera pihak berkuasa tempatan (PBT) direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah, membabitkan jumlah kira-kira RM200,000.
Perintah reman hingga 29 Julai itu dikeluarkan Majistret Yong Ching Hong selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Sandakan, pagi Rabu.
Lima suspek, masing-masing tiga lelaki dan dua wanita berusia 30 hingga lingkungan 50-an itu dipercayai menerima wang suapan secara pindahan ke akaun bank peribadi daripada beberapa kontraktor yang menjalankan kerja-kerja di kawasan PBT berkenaan sejak 2022.
"Wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan kerana membantu mendapatkan sebut harga dan tender melibatkan kerja-kerja di PBT berkenaan dari tempoh 2022 hingga 2025," menurut sumber.
Kesemua suspek ditahan di Pejabat SPRM Sabah ketika hadir memberikan keterangan pada 7 malam Selasa.
Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy mengesahkan penahanan terbabit, mengatakan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.