Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah melihat pengumuman pelbagai inisiatif oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meringankan kos sara hidup rakyat sebagai petunjuk asas bahawa ekonomi negara kian kukuh di bawah Kerajaan Madani.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Sabah menyambut baik inisiatif itu kerana ia bertujuan meringankan beban ditanggung rakyat terbanyak.
“Ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri benar-benar mengambil berat terhadap kepentingan rakyat,” menurutnya dalam kenyataan, Rabu.
Beliau berkata bantuan RM100 secara sekali beri kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas bagi membeli barangan asas di 4,100 premis perniagaan, serta peluasan Jualan Rahmah Madani ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri merupakan berita baik untuk rakyat.
Beliau berkata penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter melalui inisiatif subsidi bersasar yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 18 juta rakyat Malaysia amat menepati aspirasi rakyat.
“Pengisytiharan hari sebelum Hari Malaysia (15 Sept) sebagai cuti umum adalah pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap kepentingan hari istimewa ini untuk seluruh negara,” katanya.