Kota Kinabalu: 23 pemain skuasy remaja dari Prestige Squash Club yang berpangkalan di Kota Kinabalu mendapat pendedahan maksimum pada Kejohanan Skuasy Terbuka Borneo Ke-8 2025 yang berlangsung di Pusat Skuasy Sarawak di Kuching dari 15 hingga 20 Julai.
Kejohanan serantau yang diklasifikasikan sebagai acara emas di bawah Siri Super Junior Asia (AJSS) itu dianjurkan dengan kerjasama Persekutuan Skuasy Asia (ASF).
Ia menarik pemain remaja terkemuka dari 16 negara termasuk Malaysia, Australia, China, Hong Kong, India, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Amerika Syarikat serta penampilan sulung oleh pemain dari Kanada, New Zealand, Rusia dan Sri Lanka.
Setiausaha kelab Mohd Nizam Ali Hasan melahirkan rasa bangga dengan prestasi pemain di bawah bimbingan ketua jurulatih Bryan Spencer Faurillo, bersama jurulatih Julian Jeremiah Faurillo dan Mohd Adam John Faurillo.
“Terbuka Remaja Borneo ke-8 bukan sekadar pertandingan, ia adalah platform untuk pertumbuhan, pendedahan dan menilai diri. Pemain muda kami menunjukkan kesungguhan dan semangat kesukanan bersaing dalam pelbagai kategori dari Bawah-11 tahun hingga Bawah-19 menentang beberapa pemain muda terbaik dari seluruh Asia dan negara lain.
“Kami amat berbangga dengan usaha mereka, dan pengalaman ini sudah pasti akan membentuk mereka menjadi atlet yang lebih kuat pada masa akan datang,” katanya.
Euodia Lai, yang menduduki tempat enam terbaik dalam kategori perempuan B-19 dan Jedidiah Kwan, yang menduduki tempat kelapan dalam kategori lelaki B-17 tahun menjadi pencapaian terbaik dalam pasukan, manakala beberapa lagi berjaya mara ke separuh teratas kategori masing-masing.
Tambah Nizam, kelab itu juga berterima kasih kepada ibu bapa, penaja, penyokong, dan pasukan bimbingan dan pengurusan atas kerja keras dan dedikasi mereka untuk memastikan perlawanan itu berjaya.