Kota Kinabalu: Sebarang keputusan berkaitan perubahan sempadan maritim, khususnya melibatkan Blok Ambalat, mesti dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan tidak boleh diputuskan secara unilateral oleh Ketua Menteri, tegas Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.
Membahaskan isu tersebut di Parlimen pada Selasa, Ahli Parlimen Semporna itu mengingatkan Kerajaan Persekutuan bahawa Sabah mempunyai hak sejarah, perundangan dan perlembagaan yang perlu dihormati, dengan merujuk kepada Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan sebarang pindaan sempadan memerlukan persetujuan DUN negeri.
“Ini soal kepercayaan dalam pembinaan negara. Undang-undang mesti dipatuhi. Ketua Menteri tidak mempunyai kuasa mutlak untuk bersetuju dengan sebarang perubahan sempadan maritim, sama ada di Sulawesi atau mana-mana tempat lain,” katanya.
Shafie menegaskan bahawa walaupun pasukan undang-undang Sabah mungkin terlibat dalam rundingan dengan Indonesia, sebarang keputusan akhir mesti mendapat kelulusan DUN secara demokratik.
Beliau turut mengingatkan bahawa tuntutan Sabah ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan pernah diputuskan memihak kepada Malaysia oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), berdasarkan bukti kukuh dari segi sejarah dan dokumentasi era penjajahan British serta kehadiran komuniti di pulau berkenaan.
Menyentuh isu ekonomi, Shafie turut mempersoalkan ketidakseimbangan berpanjangan dalam pembahagian hasil petroleum, di mana Sabah hanya menerima lima peratus royalti sejak Akta Pembangunan Petroleum 1974 dikuatkuasakan.
“Semasa saya menjadi Ketua Menteri, kita kenakan cukai jualan — itulah bagaimana Kerajaan Negeri memperoleh tambahan RM2 bilion hingga RM3 bilion,” katanya, sambil menegaskan bahawa sebarang rundingan berkaitan pembangunan maritim juga perlu menjelaskan faedah ekonomi kepada Sabah.
“Akan adakah peluang pekerjaan? Adakah aktiviti huluan atau hiliran akan ditawarkan kepada rakyat Sabah? Kita tidak mahu rakyat Sabah terus tertanya-tanya tentang pulangan, sedangkan pihak lain meraih manfaat,” tambahnya.
Shafie turut menggesa Perdana Menteri untuk bersikap telus berhubung sebarang rundingan pembangunan maritim bersama Indonesia dan potensi pulangan kepada Sabah.
“Negara ini tentu tidak akan terbentuk tanpa Sabah dan Sarawak. Jika wilayah ini menyumbang kepada wilayah Malaysia, maka kita mesti memastikan Sabah tidak dipinggirkan,” katanya