KIULU: Pengendali kawasan pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) di seluruh Sabah wajar menerapkan elemen kesihatan ke dalam produk masing-masing untuk kekal berdaya saing dan seiring pelancongan global, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai (gambar).
Beliau berkata, pelancongan eko kesejahteraan, keindahan alam semula jadi semakin meningkat dengan udara bersih serta kekayaan budaya Sabah sudah menyediakan asas yang ideal.
"Penduduk kampung harus mengkaji dengan memasukkan elemen kesihatan ke dalam pakej pelancongan mereka melalui aktiviti sihat seperti penyembuhan tradisional atau makanan tempatan yang sihat.
"Ini adalah tambahan ringkas namun boleh menambah nilai yang bermakna kepada pelancongan luar bandar," katanya pada Program Jejak Kanser di Dewan Terbuka Pekan Kiulu di sini, pada Selasa.
Program itu dianjurkan Persatuan Pencegahan Kanser Sabah dengan kerjasama Pusat Khidmat Adun Kiulu dan pihak perubatan daerah Tuaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu itu menegaskan pelancongan kesihatan bukan lagi satu bidang, tetapi pengunjung hari ini mencari lokasi yang membantu mereka berehat, mendapatkan semula tenaga dan bebas tekanan.
Beliau merujuk kepada Persidangan dan Ekspo Antarabangsa Kesejahteraan Keseluruhan Mampan bulan lalu di Sabah sebagai petanda bahawa negeri ini bersedia untuk menerajui sektor terbabit.
Beliau menambah, masyarakat luar bandar sudah mengamalkan kehidupan lestari dan mempunyai akses kepada persekitaran yang kaya alam semula jadi, menjadikan mereka berada pada kedudukan yang baik untuk menawarkan pengalaman kesejahteraan tulen.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kiulu, yang terkenal dengan denai treking, aktiviti sungai, tempat perkhemahan dan acara pembinaan pasukan korporat juga harus menyesuaikan diri dengan membangunkan program dan perkhidmatan berasaskan eko kesejahteraan.
"Selaras dengan usaha kami untuk mentransformasikan Kiulu di bawah agenda Sabah Maju Jaya yang memberi tumpuan kepada pelancongan, pertanian, dan pembuatan, kami juga mahu melihat Kiulu menjadi model masyarakat luar bandar yang sihat dan berkembang maju.
"Dengan menganjurkan pemeriksaan kesihatan secara berkala, sesi terapi berasaskan alam semula jadi dan program kesedaran, Kiulu boleh menunjukkan contoh yang jelas bahawa kawasan luar bandar boleh memajukan kehidupan sihat," ujarnya.
Sehubungan itu, Joniston berharap penubuhan pusat kesihatan akan menyokong visi ini sekali gus menambah elemen kesihatan ke asas pelancongan yang memberi manfaat kepada pengunjung dan penduduk tempatan, termasuklah membuka peluang ekonomi dan sosial baharu.