Kota Kinabalu: Seorang wanita Filipina tanpa dokumen berusia 47 tahun yang sebelum ini pernah dipenjara dan didenda kerana membenarkan tiga kanak-kanak di bawah jagaannya menjual buah-buahan di jalanan hampir 12 jam, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun lagi kerana meminta anak lelakinya untuk ‘bekerja’ seperti tiga kanak-kanak terbabit.
Hakim Mahkamah Sesyen, Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Awala Antualang, yang menggunakan Kad Burung-Burung sebagai dokumen pengenalannya, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya pada Rabu.
Awala telah membenarkan anak lelakinya yang berusia sembilan tahun berada di kawasan Kedai Sup Ikan Kepayan bagi tujuan menjual buah-buahan antara Januari hingga Februari tahun ini, dari jam 12.30 tengah hari hingga 10 malam.
Kesalahan di bawah Seksyen 32(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(1) Akta sama itu membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Awala menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap dan dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.
Mahkamah diberitahu bahawa Awala meminta anak lelakinya yang tidak bersekolah untuk bekerja bersamanya menjual buah-buahan di kawasan Kedai Sup Ikan Kepayan bermula jam 12.30 tengah hari hingga 10 malam.
Awala memberi rehat selama dua jam kepada anaknya pada jam 3 petang dan menyambung kerja semula pada jam 5 petang.
Semua buah-buahan disediakan oleh Awala dan dia akan mengambil semua wang daripada kanak-kanak itu. Kanak-kanak itu hanya diberi cuti sehari dalam seminggu serta dibayar upah namun dengan jumlah yang tidak menentu.
Ketika meminta hukuman ringan, Awala yang ketika ini menjalani hukuman penjara memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia mempunyai sembilan anak dan merupakan ibu tunggal.
Tetapi, Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus memohon hukuman pencegahan dikenakan sebagai pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan serupa.
Tambahnya, orang awam perlu sedar bahawa Akta Kanak-Kanak 2001 mengiktiraf hak setiap kanak-kanak untuk dilindungi dalam semua keadaan tanpa mengira perbezaan seperti kaum, asal-usul sosial, atau apa-apa status lain.