PETALING JAYA: Jabatan Tanah dan Ukur Sabah menegaskan bahawa tiada lesen mencari gali mineral telah dikeluarkan kepada Bumi Suria Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Pengarah jabatan itu Bernard Liew, berkata tiada lesen mencari gali dikeluarkan kepada syarikat terbabit di bawah Ordinan Perlombongan Sabah 1960 dan dakwaan yang menyatakan sebaliknya adalah tidak berasas.
Beliau menambah jabatan itu merupakan badan berkuasa yang mentadbir aktiviti perlombongan di negeri Borneo itu.
“Sebaik sahaja aktiviti mencari gali ingin dijalankan di Sabah, ia hanya boleh dilakukan selepas mendapat lesen yang sah di bawah Seksyen 6 dan 8 Ordinan Perlombongan Sabah.
“Ini juga tertakluk kepada syarat teknikal dan undang-undang lain berkaitan sedia ada. Jabatan ini memandang serius sebarang kenyataan yang dibuat melalui media yang boleh mengelirukan orang ramai,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan bahawa Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) telah menganugerahkan lesen mencari gali kepada Bumi Suria bagi perlombongan arang batu.
Laporan itu menyatakan bahawa ia diberikan hak eksklusif untuk mencari gali mineral di kawasan hutan simpan seluas 70,000 hektar di Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan.
Dalam kenyataan kepada FMT, Ketua Pegawai Eksekutif SMM Natasha Sim berkata agensi kerajaan negeri itu bukan badan yang mempunyai kuasa untuk menganugerahkan atau mengeluarkan lesen.
Pada Isnin, Farhash berkata peguamnya telah menyerahkan surat arahan berhenti dan jangan ulang kepada MalaysiaNow, menyatakan bahawa dakwaan beliau memiliki Bumi Suria dan bahawa syarikat itu diberikan lesen mencari gali mineral di Sabah adalah palsu dan berunsur fitnah.
Peguamnya berkata Farhash hanyalah seorang pengarah dan pemegang saham dalam Bumi Suria dan menuntut supaya artikel itu diturunkan dari laman sesawang serta semua saluran media sosial.