TAWAU: Dua pelajar perempuan yang dipercayai mencuri kira-kira RM40,000 duit simpanan datuk mereka sendiri dari bawah katil ditahan polis, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata kedua-dua pelajar berumur 15 dan 13 tahun itu ditahan susulan laporan yang dibuat oleh bapa saudara mereka, 43, di Balai Polis Bombalai pada hari sama kejadian itu berlaku.
“Kehilangan wang itu disedari oleh mangsa (datuk pelajar) selepas memeriksa duit simpanannya yang sepatutnya berjumlah RM60,000 namun didapati berkurang, disyaki dicuri.
“Mangsa mengesyaki kejadian itu mempunyai kaitan dengan dua cucunya yang berumur 15 dan 13 tahun dan memaklumkan perkara mencurigakan itu kepada anak lelakinya (pengadu) yang kemudiannya melaporkan kes terbabit kepada polis,” katanya di sini pada Khamis.
Menurutnya kehilangan duit itu disedari oleh mangsa selepas memeriksa duit simpanannya dan kes curi berkenaan dipercayai berlaku kira-kira jam 7 pagi.
“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan di sekitar rumah mangsa di Kampung Durian Merotai Besar mendapati tidak ada barang berharga lain yang dilaporkan hilang.
“Polis kemudiannya menahan kedua-dua suspek kira-kira jam 4.45 petang di hadapan Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah pada hari sama aduan dibuat,” katanya.
Siasatan dibuka di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang dijadikan sebagai tempat tinggal atau tempat menyimpan barang berharga.