LAHAD DATU: Seorang lelaki berumur 39 tahun cedera selepas lori tangki minyak yang dipandunya terbabit kemalangan di Jalan Sabahan, sepanjang laluan Lahad Datu-Tawau, di sini, pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.03 pagi.
Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian menggunakan dua jentera bomba dan sebuah kenderaan EMRS.
“Sebaik tiba, pasukan melaporkan sebuah lori tangki minyak yang membawa 10,000 liter petrol terbabit kemalangan.
“Pemandu lori yang masih sedar dan cedera ditemui di bahu jalan dan diberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut Sumsoa, kemalangan itu menyebabkan kebocoran dan tumpahan petrol daripada lori tangki terbabit.
Pasukan bomba melaksanakan kerja-kerja pengezonan di lokasi, kira-kira 100 kaki dari lori tangki itu serta melakukan semburan buih ke seluruh bahagian tangki.
Tumpahan petrol mengalir ke arah sebuah kolam berhampiran dan pihak bomba telah menghubungi syarikat pemilik lori tangki terbabit untuk tindakan lanjut.
Operasi turut dibantu dua jentera berat, pengorek kuat dan ekskavator, milik kontraktor Pan Borneo.
Jentera berat itu digunakan untuk menutup aliran sungai kecil bagi mengawal tumpahan serta menstabilkan kedudukan lori tangki bagi mengelakkan tumpahan berterusan.
Setelah keadaan di lokasi terkawal, operasi diserahkan kepada pihak syarikat lori tangki sebelum operasi ditamatkan.