KOTA BELUD: Seekor kucing jantan dipercayai terperangkap di atas pokok pinang setinggi sembilan meter sejak petang selasa berjaya diselamatkan pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kejadian di Kampung Tamau pada Rabu.
Difahamkan pengadu dikenali sebagai Amas Tinggian Kiding, 42, membuat panggilan pada jam 1.24 petang untuk memohon bantuan menyelamat kucing yang dinamakan ‘Maulana’ itu selepas menemukannya di atas pokok.
“Petang Selasa lalu saya mahu memberi makan kucing peliharaan namun selepas mencari di sekitar rumah dan memanggilnya Maulana tetap tidak muncul.
“Bagaimanapun sejurus puas mencari di luar rumah hari ini (Rabu) dan bertanyakan jiran-jiran saya tidak sengaja mendongak ke arah langit dan terkejut secara kebetulan melihat kucing itu di atas pokok,” katanya dihubungi.
Menurutnya kucing berkenaan tidak mengeluarkan bunyi ketika dipanggil berkemungkinan takut untuk turun ke bawah.
“Atas sebab itu saya terpaksa mendapatkan bantuan pihak APM untuk menyelamatkan Maulana,” katanya bersyukur operasi menyelamatkan kucing kesayangannya itu berjalan lancar.
Sementara itu Pegawai APM Daerah Kota Belud Paulina Francis berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan misi menyelamat haiwan peliharaan milik pengadu sebaik menerima aduan terbabit.
“Sejurus tiba pasukan APM mendapati kucing itu masih berada di atas pokok pinang setinggi sembilan meter.
“Anggota APM kemudiannya memujuk kucing berkenaan yang mengambil masa selama sepuluh minit dengan meletakkan ikan pada bakul raga yang diikat pada batang bambu.
“Kucing itu masuk ke dalam bakul sebelum usaha menyelamat berjaya dilaksanakan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.27 petang.