Kota Kinabalu: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif berharap Bandaraya Kota Kinabalu terpilih sebagai Kota Sastera yang bakal diputuskan Unesco hujung tahun ini.
Beliau yang juga penaung bidang sasterawan di Sabah berkata Kota Kinabalu layak menerima pengiktirafan itu berikutan sudah memenuhi syarat ditetapkan antaranya keperluan dalam bidang kesusasteraan.
Menurutnya terdapat hanya 59 buah Kota Sastera di dunia ketika ini dan amat berharap Bandaraya Kota Kinabalu menjadi Kota Sastera ke-60 sekaligus menjadi yang pertama di Malaysia.
“Kita sudah memohon Januari tahun lalu melalui Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Badan Bahasa Sabah (Bahasa) dan Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).
“Diharap usaha ini diluluskan kerana sebahagian besar pra-syarat ditetapkan oleh Unesco untuk pemilihan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera telah dipenuhi.
“Antara keperluan itu termasuk kemudahan insfrastruktur perpustakaan, universiti kegiatan sastera serta lain-lain lagi dan jika dipilih ia akan menyumbang kepada sektor pelancongan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika Malam Manifestasi Ke Arah Pengiktirafan Bandaraya Kota Kinabalu Sebagai Kota Sastera dan Majlis Penyampaian Bantuan Bahasa dan Sastera (Selasih) pada Khamis.
Terdahulu Mohd Ariffin turut menyampaikan bantuan Selasih kepada 20 persatuan penulis berdaftar dan aktif di Sabah membabitkan peruntukan di bawah Pejabat Tugas-Tugas Khas berjumlah kira-kira RM220,000.
Beliau yang turut memegang jawatan Exco Pendidikan dan Agama Islam Negeri berkata Selasih bertujuan untuk memperkasa aktiviti penulisan bagi melahirkan lebih ramai penulis dan ilmuan di Sabah.
“Peruntukan ini diharap dapat membantu sebarang pembiayaan kegiatan persatuan termasuklah penghasilan dan penerbitan buku seperti puisi, ontologi cerpen atau karya sastera lainnya,” katanya.