INANAM: Lebih 100 penduduk di Kampung Bukit Saazo, Minintod, merayu agar kerajaan segera menangani masalah ketiadaan bekalan air bersih yang berlarutan sejak kemarau melanda awal tahun ini.
Penggerak Parti Warisan Inanam, Lewis Wong, berkata situasi itu memburukkan lagi keadaan penduduk yang bergantung sepenuhnya kepada sistem bekalan air graviti yang tidak dapat berfungsi semasa musim kering.
“Setiap kali kemarau, penduduk tidak mendapat bekalan air kerana sumber tadahan dan anak sungai kering. Tekanan air menjadi terlalu rendah hingga tidak sampai ke rumah, terutamanya di kawasan berbukit,” katanya.
Menurutnya, ramalan cuaca menunjukkan kemungkinan berlaku kemarau panjang yang akan terus menjejaskan kehidupan penduduk jika tiada tindakan segera.
Beliau berkata beberapa pemimpin berprofil tinggi juga menetap di Bukit Saazo dan berdepan masalah sama, namun mereka mampu membina sistem takungan air bawah tanah sendiri.
“Sedih apabila Inanam, sebagai kawasan paling hampir dengan bandaraya, menghadapi masalah seperti ini. Malah, beberapa kawasan dalam bandaraya termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga berdepan krisis air hingga pelajarnya terpaksa mengadakan protes,” katanya.
Tambah beliau, masalah air merupakan satu daripada tiga isu utama di Sabah yang memerlukan perhatian segera kerajaan, selain masalah bekalan elektrik dan jalan raya.
“Tiga isu ini adalah masalah ‘tiga serangkai’. Ia mencabar tetapi boleh diselesaikan sekiranya ada iltizam politik dan perancangan tuntas,” katanya.
Lewis turut mengaitkan perkembangan pesat di Inanam dengan peningkatan permintaan terhadap sumber air bersih, memandangkan kawasan itu kini dihuni lebih 40,000 penduduk di lebih 60 kampung.
“Pertumbuhan penduduk dan pembukaan kawasan perumahan serta komersial baharu memberi tekanan kepada infrastruktur air sedia ada,” ujarnya.
Beliau mencadangkan dua langkah penyelesaian: Menaik taraf sistem air graviti dan mempercepat pembinaan Loji Rawatan Air Telibong di Tamparuli.
“Sistem graviti ini sudah lama digunakan dan tidak lagi efisien. Banyak paip bocor, tekanan rendah dan bekalan tidak konsisten. Namun sistem ini masih relevan, terutamanya untuk kampung di kawasan berbukit, jika ia dinaik taraf secara menyeluruh,” katanya.
Antara cadangan yang dikemukakan, termasuk membaik pulih kawasan tadahan, menaik taraf empangan dan menggantikan paip serta tangki simpanan usang. Selain itu, pemasangan pam penggalak dan sistem pengepaman moden diperlukan untuk memastikan tekanan air yang stabil.
Beliau juga mencadangkan agar telaga air bawah tanah dan loji rawatan berskala kecil dibina bagi kawasan terpencil, disertakan dengan latihan kepada komuniti untuk mengurus dan menyelenggara sistem air secara mampan.
Sementara itu, katanya, pembinaan Loji Rawatan Air Telibong perlu disegerakan kerana ia dianggap penyelesaian jangka panjang kepada krisis air di Inanam dan kawasan sekitar.
“Menurut Jabatan Air Negeri Sabah, loji ini dijangka menyelesaikan isu bekalan air di sekitar bandaraya, namun pembinaannya yang dijanjikan siap pada 2021 masih tertangguh,” katanya.
Lewis mencadangkan agar peruntukan negeri atau persekutuan disalurkan tepat pada masanya dan hanya kontraktor berkelayakan dilantik bagi menyiapkan loji itu tanpa kelewatan.
Sebagai langkah sementara, beliau menyarankan penyediaan tangki air atau unit rawatan mudah alih di kawasan terjejas sehingga loji tersebut siap sepenuhnya.