Tuaran: Sebanyak 24 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Mengkabong di sini, Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, tiada mangsa dilaporkan cedera atau mengalami kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran Mohammad Nor Amit berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3.34 petang.
Katanya, seramai 24 anggota dan pegawai termasuk bantuan daripada BBP Kota Kinabalu dan Putatan bergegas ke lokasi kejadian beserta tiga jentera.
“Sebaik tiba, operasi memadam api daripada terus merebak ke rumah-rumah berhampiran dijalankan serta-merta.
“Kebakaran membabitkan 23 rumah jenis separuh kekal musnah sepenuhnya manakala satu lagi rumah jenis separuh kekal musnah 50 peratus.
“Turut dilaporkan musnah, sebuah kenderaan namun tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian ini,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.15 petang dan operasi juga dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity.
“Selain jentera, pemadaman api turut dilakukan melalui sumber tangki daripada Jabatan Air.
“Operasi ditamatkan jam 10.38 malam manakala punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.