TAWAU: Operasi Bersepadu Daerah Tawau dan Kalabakan yang dikoordinasikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) selama tiga hari sehingga Sabtu lepas, menahan 40 individu, termasuk 21 pendatang tanpa izin (PTI).
Operasi itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), jabatan dan agensi persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Komander Esscom, DCP Datuk Victor Sanjos berkata, operasi berkenaan digerakkan sebagai langkah penguatkuasaan undang-undang bagi membanteras penyelewengan dan ketirisan barang kawalan serta kesalahan lain.
“Pelaksanaan operasi tertumpu di sekitar Bandar Tawau dan Pekan Kalabakan seperti di Jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama serta di RCP Kalabakan.
“Serbuan turut dijalankan di lokasi penempatan pinggir bandar dan kampung yang dikenal pasti menjadi tumpuan PTI serta aktiviti jenayah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Victor menjelaskan, objektif utama operasi ini ialah menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone), termasuk mengesan sebarang perlanggaran undang-undang.
Antara fokus operasi adalah membanteras kegiatan penyeludupan serta penyelewengan barang kawalan, bersubsidi atau tidak bercukai, selain menyekat kemasukan PTI dan jenayah lain.
“Operasi keselamatan turut dijalankan di laluan ketirisan yang dikenal pasti digunakan oleh penjenayah di kawasan sempadan darat serta di perairan sekitar Tawau dan Kalabakan,” ujarnya.
Menurutnya, sepanjang operasi itu, seramai 146 orang, 26 premis kediaman dan perniagaan serta tiga kenderaan diperiksa, yang membawa kepada pengesanan beberapa kesalahan undang-undang.
21 PTI warga Filipina dan Indonesia yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Seramai 19 individu lagi yang turut ditahan, termasuk dua suspek pengedar dadah, sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk saringan ujian air kencing di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.
“Turut dirampas, dadah jenis syabu seberat kira-kira 125.64 gram, cecair ketum dalam 41 botol berisi 1.5 liter setiap satu, serta wang tunai berjumlah RM950,” katanya.
Beliau berkata Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) turut melaksanakan tindakan pemotongan sambungan elektrik haram yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM750,000, mengikut Seksyen 61(3) Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
Selain itu, sebanyak 35 saman dan dua notis arah periksa kenderaan dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengikut POL 257 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kejayaan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan menerusi Operasi Sanggah Esscom dalam memperkasa operasi sedia ada oleh PDRM, ATM dan APMM.
“Pada masa sama, ia turut membantu jabatan dan agensi penguatkuasaan di peringkat Persekutuan, Negeri dan PBT dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang di kawasan Esszone dilaksanakan dengan berkesan.
“Ini selaras dengan aspirasi Esscom – ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ – bagi membendung pencerobohan anasir asing serta menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah Timur agar terus terpelihara,” jelasnya.
Victor menegaskan komitmen Esscom dalam menjayakan agenda pembangunan dan pengukuhan sosioekonomi berlandaskan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
“Usaha sebegini akan terus diperluas ke daerah-daerah Esszone dan kita berterima kasih kepada 254 pegawai dan anggota yang menjayakan operasi kali ini termasuk semua jabatan serta agensi terlibat,” katanya.
Orang ramai turut diseru agar sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan isu keselamatan di Esszone kepada Pusat Operasi Esscom pada talian 089-863181 atau menerusi WhatsApp pada 011-63311072.