Kota Kinabalu: Ketua Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) Datuk Fairuz Renddan meminta semua ahli parti serta akar umbi berusaha menyelamatkan keharmonian Sabah dan tidak hanyut dalam kerakusan mengejar pangkat serta jawatan politik.
“Ayuh semua bersama saya dalam perjuangan Gagasan Rakyat. Jangan biarkan negeri yang kita cinta ini dihanyutkan oleh perpecahan kerana kerakusan politik kotor.
“Kita harus kekalkan perjuangan melihat keharmonian Sabah. Kritikan yang melampau hanya membawa kepada perpecahan sekali gus tiada sumbangan kepada negeri,” katanya.
Fairuz berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pergulungan Pemuda dalam Persidangan Agung Gagasan Rakyat 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Ahad.
Menurut Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pintasan perjuangan unggul adalah tunggak utama bagi setiap ahli agar menjadi benteng serta harapan kepada perjuangan parti.
Tambah beliau generasi muda berperanan dalam meneruskan pembangunan dan membentuk kejayaan yang kelak akan diwariskan kepada generasi akan datang.
“Kita akan bangunkan dan wariskan tanah berdaulat ini dengan penuh maruah kepada generasi akan datang.
“Perjuangan kita bukan kerana nama, sebaliknya berjuang kerana negeri Sabah,” tambahnya.
Sementara itu Fairuz turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Ketua Wanita Gagasan Rakyat Datuk Redonah Bahanda kerana memperjuangkan keutamaan Pemuda dan menggesa agar peluang turut diberikan sama rata kepada Pemuda.
“Kakanda Redonah yang dihormati sesungguhnya saya amat berterima kasih dengan segala kepercayaan, keyakinan dan sokongan anda kepada saya sepanjang menerajui kepimpinan Pemuda dan Dun Pintasan.
“Keyakinan diberikan ini tidak mungkin saya dan Pemuda lupakan sampai bila-bila. Kami akan terus bekerja keras untuk Gagasan Rakyat,” katanya.
Dalam pada itu Fairuz turut menegaskan perjuangan Pemuda bukan lagi mengejar kepada pangkat, kuasa dan peluang malah sebaliknya kemenangan parti dan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Beliau sudah membuktikan bahawa pembangunan dan integriti boleh berjalan seiring kerana beliau meletakkan rakyat di hati pemerintahannya.
“Ketua menteri juga percaya anak muda bukan beban tetapi penyumbang kepada kejayaan,” ujar beliau lagi.