Thu, 11 Jun 2026
Headlines:
Denda untuk dua lelaki buat khianat
Published on: Tuesday, July 29, 2025
Published on: Tue, Jul 29, 2025
By: Jo Ann Mool
Text Size:
Text:
Denda untuk dua lelaki buat khianat
Thomas Lai dan Chew Vui Kian masing-masing mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus dan Majistret Marilyn Kelvin atas kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Kota Kinabalu: Dua lelaki didenda oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan berasingan melakukan perbuatan khianat.

Thomas Lai dan Chew Vui Kian masing-masing mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus dan Majistret Marilyn Kelvin atas kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Advertisement
Lai dihukum penjara empat minggu dan didenda RM1,000 atau dua bulan penjara kerana merosakkan cermin tingkap bahagian pemandu sebuah Toyota Land Cruiser menggunakan pisau jam 9.40 pagi, 17 Julai lalu di Taman Megarial, Luyang.

Chew pula didenda RM1,200 atau dua bulan penjara kerana memecahkan pintu kaca premis Good Massage di Bataras Hypermarket, Inanam, menggunakan sepana gelang pada jam 8.12 malam, 19 Julai, yang menyebabkan kerugian sebanyak RM350 kepada pemilik premis, Winsal Mursidi.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Dalam kes Lai, pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh melakukan perbuatan itu terhadap kenderaan itu kerana tidak berpuas hati dengan perintah mahkamah yang disampaikan oleh peguam pengadu, yang mengarahkannya mengosongkan sebuah rumah.

Lai menghampiri kenderaan itu dengan membawa pisau dan menikam cermin tingkap sebelah pemandu, menyebabkan kerosakan bernilai kira-kira RM1,000.

Advertisement
Tidak diwakili, Lai merayu agar hanya dikenakan denda dengan alasan dia menghidap kanser hidung tahap empat, dan menambah pengadu datang untuk mengambil semula rumah terbabit.

Majistret memberitahu Lai bahawa memandangkan terdapat perintah mahkamah yang membenarkan pengadu mengambil semula rumah itu, dia sepatutnya mencabar keputusan itu melalui saluran undang-undang dengan melantik peguam, bukannya bertindak menggunakan senjata.

Advertisement
Lai berkata dia tidak berpendidikan dan tidak tahu apa yang patut dilakukan, malah mendakwa pengadu tahu cara membuat laporan polis dan sering mengugutnya sebelum ini, namun dia sendiri tidak pernah membuat laporan.

Pihak pendakwaan memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan, dengan menyatakan bahawa Lai menggunakan senjata berbahaya untuk menakut-nakutkan mangsa, menyebabkan kerosakan dan tekanan psikilogi.

Ketika menjatuhkan hukuman, Majistret berkata walaupun Lai sedang sakit dan telah lanjut usia, tindakan menggunakan pisau merupakan satu kesalahan serius yang boleh membawa kepada akibat yang lebih buruk.

Majistret berkata mahkamah memandang serius perkara itu, dan walaupun terdapat pertikaian berkaitan rumah, Lai sepatutnya mendapatkan penyelesaian melalui saluran undang-undang dan bukannya bertindak sendiri, apatah lagi dengan menggunakan senjata tajam dan berbahaya. 

Sementara itu, dalam kes Chew, fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwaan menyatakan bahawa Chew memecahkan pintu kaca kedai selepas bertengkar dengan bekas teman wanitanya yang memiliki sebuah kedai berdekatan kedai pengadu.

Wanita itu memaklumkan kepada pengadu yang kemudiannya membuat laporan polis. Chew ditangkap keesokan harinya dan polis turut merampas sepana yang digunakan.

Pertuduhan terhadap kedua-dua Lai dan Chew membawa hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here