SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan mematahkan cubaan menyeludup keluar 1,550 liter petrol tanpa dokumen sah ke negara jiran dalam satu operasi, awal pagi Rabu.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot kargo terbabit dikesan kira-kira 0.8 batu nautika barat Pulau Berhala sebelum cuba melarikan diri apabila dihampiri bot peronda Maritim Malaysia.
“Namun, ia berjaya ditahan sekitar jam 1.35 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 62 jerikin berisi minyak petrol dengan jumlah keseluruhan 1,550 liter telah ditemui dan dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran,” katanya, menambah rampasan tersebut dianggarkan bernilai sekitar RM27,000.
Beliau turut memaklumkan tekong dan kru bot tersebut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala bot kargo berkenaan tidak memiliki lesen operasi yang sah.
Dua individu berusia 42 dan 38 tahun ditahan dalam operasi itu.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1962, Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barang kawalan, kemasukan individu tanpa permit sah dan pengendalian vesel tanpa dokumen.
Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Sandakan di talian 089-222519 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.