LAHAD DATU: Umno dan Barisan Nasional (BN) sedia membuka pintu kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan termasuk parti yang pernah menjadi seteru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bercakap ketika merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Lahad Datu, Ahad, Ahmad Zahid berkata meskipun Umno dan BN akan bertanding secara solo menggunakan lambang BN, tidak bererti ia menolak kerjasama dengan gagasan atau gabungan serta parti-parti lain.
“Itulah sebabnya kita memutuskan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam perkara ini,” katanya, dan menambah, kerjasama itu bukan sahaja untuk PRN tetapi juga sehingga pembentukan kerajaan negeri pasca pilihan raya.
Ahmad Zahid berkata tidak ada satu parti pun di Sabah yang dominan untuk membentuk kerajaan negeri secara sendirian, menjadikan gabungan kerjasama sebelum atau selepas pilihan raya penting untuk kestabilan politik.
“Kita mahu Sabah menjadi sebuah negeri yang stabil secara politik di mana kemajuan dibawa terutamanya untuk menyelesaikan masalah-masalah utama yang menjadi keperluan rakyat Sabah.
“Untuk itu, Umno dan BN Sabah yang telah kita berikan autonomi sepenuhnya agar dapat jalinkan kerjasama secara bijaksana dengan lain-lain gabungan atau gagasan,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa parti itu akan mempertimbangkan cadangan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memperuntukkan sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri kepada calon BN Sabah di setiap kawasan Parlimen pada pilihan raya akan datang.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dasuki, Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Bendahari Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.