LAHAD DATU: Polis menahan tiga beradik disyaki menggunakan kad ATM milik orang lain untuk membeli pelbagai barangan.
Ketua Polis Daerah ACP Dzulbaharin Ismail berkata ketiga-tiga suspek yang berusia antara 39 hingga 44 tahun itu ditahan pada Isnin oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial.
Katanya tangkapan dibuat susulan laporan yang dibuat oleh pemilik kad ATM selepas menyedari kad tersebut telah hilang.
“Hasil semakan dengan pihak bank mendapati kad berkenaan telah digunakan tanpa kebenaran mangsa di beberapa pusat beli-belah,” katanya memaklumkan suspek dipercayai membuat pembelian dan membayar menggunakan fungsi PayWave.
Dzulbaharin berkata ketiga-tiga beradik itu kini berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.