Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Negeri Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Sabah, Razif Abdillah menyifatkan perkembangan siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, masih samar meskipun kejadian tragis itu sudah memasuki minggu ketiga.
Razif berpandangan belum ada kejelasan tentang pihak terlibat, lebih-lebih lagi kerana ia berlaku dalam persekitaran sekolah menengah, tempat yang sepatutnya menjadi ruang selamat buat pelajar.
Razif berkata, kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 3 pagi dan mayat ditemui di dalam longkang.
“Persoalan timbul mengenai siapakah yang menemui mayat tersebut, sama ada warden atau pelajar, serta ketiadaan maklumat tentang saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), menimbulkan pelbagai andaian.
“Pada peringkat awal kejadian, sudah banyak kelompongan yang perlu dijelaskan. Ada laporan menyatakan warden tidak berada di sekolah ketika kejadian, dan timbul juga persoalan sama ada warden tersebut merupakan guru sekolah.
“Kami bukan berniat untuk mencampuri urusan siasatan tetapi kes ini adalah kepedulian untuk masyarakat umum kerana ia berlaku di sekolah iaitu tempat untuk rakyat menghantar anak-anak ke sekolah.
“Jika kelemahan ini gagal dirungkai, ia akan menimbulkan ketakutan dalam kalangan ibu bapa, terutama mereka yang mempunyai anak di sekolah berasrama penuh. Tambahan pula, ini adalah sebuah sekolah agama milik kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Razif juga menyentuh dakwaan liar yang menyatakan mangsa telah dimasukkan ke dalam mesin basuh, selain spekulasi kononnya terdapat anak-anak golongan elit atau orang-orang kenamaan (VVIP) yang terlibat antara 60 saksi yang dipanggil.
Razif bertanya mengenai dakwaan pertukaran sekolah secara serta-merta dan menuntut kenyataan rasmi daripada pentadbir sekolah untuk menjelaskan perkara ini.
“Jika benar wujud penglibatan pihak elit, jangan kompromi – bawa mereka ke muka pengadilan. Jika ada kecuaian pihak pentadbiran sekolah, mereka juga perlu dipertanggungjawabkan,” katanya.
Beliau menegaskan keprihatinan ini tidak didorong oleh kepentingan politik, sebaliknya demi keadilan buat mangsa dan keluarga, menggesa siasatan telus dan kemaskini tetap untuk mengekalkan keyakinan awam dalam sistem keselamatan negara.
“Ini adalah kes kematian tragik seorang anak tunggal kepada seorang ibu tunggal. Letakkan nilai kemanusiaan sebagai keutamaan,” katanya.