LABUAN: Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Labuan Datuk Dahlif Singh menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai “kek super” yang menawarkan sesuatu untuk setiap negeri dan wilayah di Malaysia, namun tiada yang istimewa buat Labuan.
Beliau menyokong pandangannya itu berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan dalam RMK13.
Menurutnya, RMK13 memberi tumpuan kepada pembangunan Zon Pelaburan Pelancongan Khas (STIZ) di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak bagi mewujudkan produk pelancongan baharu bagi merancakkan lagi potensi industri terbabit.
“Sayangnya Labuan tidak termasuk dalam radar ini sedangkan pulau ini amat memerlukan tumpuan seumpama itu untuk mengembalikan kegemilangannya sebagai destinasi beli-belah serantau walaupun kini, Labuan sangat bergantung kepada pelancongan berikutan sektor minyak dan gas serta perkhidmatan kewangan tidak lagi memberi impak besar,” kata Dahlif.
Tegasnya, tanpa perhatian khas terhadap pulau ini, Labuan berkemungkinan tidak akan menikmati sebarang manfaat daripada Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka menarik 35 juta pelawat antarabangsa dengan penjanaan hasil RM147 bilion, seperti yang disasarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
Dahlif menambah perhatian berterusan diberikan kepada projek Forest City di Johor, tetapi Labuan pula terus diketepikan.
Beliau berkata, RMK13 juga menyentuh pembangunan infrastruktur berskala besar bagi mengukuhkan hubungan serantau di kawasan yang mempunyai industri berimpak tinggi seperti di Perlis, Kota Kinabalu, Perak dan Kelantan.
“Tetapi tiada pun disebut tentang jambatan Labuan-Menumbok yang telah lama dicadangkan dan majoriti penduduk di sini amat menantikannya serta menjangkakan ia mampu merangsang ekonomi tempatan apabila siap kelak,” Dahlif.
Katanya, tiada sebarang petunjuk mengenai projek berkepentingan ekonomi yang akan dilaksanakan di Labuan bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
Labuan kini mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 6.1 peratus, hampir menyamai Sabah.
“Tanpa peluang pekerjaan, penghijrahan belia dari pulau ini akan terus berlaku.”
Namun secara keseluruhan, katanya, RMK13 meletakkan Malaysia di landasan untuk muncul sebagai ekonomi Harimau Asia setaraf Singapura, Korea Selatan dan Taiwan dan beliau mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Madani kerana membentangkan pelan berani untuk mentransformasikan negara.