LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas pelbagai jenama rokok seludup serta dua van, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2,087,420 dalam satu operasi di Batu 8, Jalan Silam di sini, pada Khamis.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, dalam operasi sekitar jam 1 pagi itu, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 32 dan 38 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, semasa pemeriksaan, pasukan operasi menyita dua van berwarna putih dan menemui beberapa bungkusan plastik hitam yang mengandungi rokok seludup pelbagai jenama.
“Sebanyak 1,622,800 batang rokok dipercayai diseludup masuk dari negara jiran telah dirampas.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2,087,420 dan siasatan akan dijalankan di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Nazri menegaskan komitmen pasukan Polis Marin dalam membanteras kegiatan penyeludupan dan jenayah demi keselamatan serta kesejahteraan negara.
Beliau turut menyeru orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.