Kota Kinabalu: Menangani kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi di Sabah memerlukan peralihan tumpuan daripada pendekatan penggantian paip yang mahal dan memakan masa, kepada penggunaan penyelesaian teknologi canggih, kata Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Dalam ucapan penutup Persidangan Asiawater Versi Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Khamis, Shahelmey mengakui skala masalah bekalan air negeri ini, dengan lebih 50 peratus air terawat hilang sebelum sampai kepada pengguna, terutamanya akibat paip uzur, meter rosak dan sambungan haram.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keperluan untuk tidak terlalu bergantung kepada penggantian infrastruktur berskala besar, sebaliknya menggesa strategi yang lebih pintar dan lestari.
“Kita perlu mencari keseimbangan. Penggantian paip memang penting, tetapi kita juga mesti menerima pakai teknologi yang boleh mengurangkan kehilangan air dengan lebih cepat dan kos efektif, seperti sistem pengurusan tekanan dan alat pengesanan kebocoran pintar,” katanya.
Mengambil contoh kejayaan Pengurusan Air Selangor, Shahelmey berkata syarikat utiliti tersebut berjaya menurunkan kadar NRW daripada 32 peratus pada 2019 kepada 27 peratus pada 2024, walaupun mengurus lebih 6,000 kilometer paip simen asbestos yang lama.
“Kejayaan ini bukan semata-mata hasil penggantian paip, tetapi juga penggunaan teknologi secara bijak,” katanya.
Cabaran infrastruktur air Sabah turut ditambah buruk dengan puluhan tahun kekurangan pelaburan, penyelenggaraan lemah dan faktor geografi yang mencabar.
Beliau menegaskan bahawa penyelesaian jangka panjang dan mampan memerlukan pendekatan bersepadu yang merangkumi perancangan sumber air baharu, pelaburan dalam bakat, penambahbaikan sistem bil dan pembinaan rangkaian kukuh yang melibatkan kontraktor, perunding dan tukang paip yang berkemahiran.
Shahelmey juga menekankan pentingnya kesedaran awam dan kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi sumber air mentah.
“Sungai kita semakin terancam akibat pencemaran yang meningkatkan kos rawatan air dan boleh menyebabkan gangguan sementara. Sungai yang bersih memerlukan tanggungjawab bersama,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan sektor bekalan air menyesuaikan diri dengan perubahan iklim, yang dijangka membawa corak cuaca lebih ekstrem dan tidak menentu, termasuk kemarau dan banjir.
“Perancangan kita tidak boleh lagi berdasarkan corak cuaca 50 atau 100 tahun. Daya tahan iklim mesti diterapkan dalam setiap peringkat pengurusan air,” katanya.
Shahelmey turut mengulangi komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan bekalan air yang bersih dan boleh dipercayai kepada semua rakyat Sabah.
“Air bersih adalah hak asasi manusia dan asas kepada pertumbuhan ekonomi. Sabah mesti membina bukan saja paip, tetapi ekosistem air yang sedia untuk masa depan, dan teknologi adalah kunci kepada visi itu.
“Kita mesti terbuka kepada pendekatan baharu. Menyelesaikan cabaran air Sabah memerlukan kesediaan untuk melakukan transformasi,” tegasnya.