PERSATUAN Filem dan Visual Sabah (Safva) menggesa agar sebuah agensi atau jabatan kreatif Sabah diwujudkan bagi membangun dan memperkasakan kegiatan kreatif secara menyeluruh di negeri ini.
Presidennya Chester Pang berkata ia merupakan usaha serius persatuan itu untuk mewujudkan sebuah ekosistem kreatif lengkap yang bertaraf industri agar penggiat kreatif boleh berkarya sepenuh masa dan pada masa sama menjadi hasil baharu kepada ekonomi Sabah.
“Dengan adanya agensi atau jabatan kreatif kelak, pelbagai program kreatif boleh dirancang dan disepadukan bagi mengukuhkan kedudukan kami, terutamanya dari segi peluang pekerjaan dan perlindungan hak harta intelek (IP) yang dilindungi melalui dasar dan perundangan jabatan yang diwujudkan tanpa hanya bergantung dengan pembuat dasar di peringkat Kerajaan Pusat.

”Cadangan kami jika dipersetujui sudah tentu akan mengambil masa tetapi rangka kerja serta pelan tindakan kreatif sudah tersedia yang boleh membantu mempercepatkan proses penubuhan itu.
”Safva percaya terhadap kepimpinan YAB Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam merealisasikan impian penggiat kreatif Sabah secara menyeluruh yang bakal membuka ruang kepada pertumbuhan industri tempatan yang lebih mampan dan profesional,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat kepada Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, Rabu lalu.
Chester berkata Safva turut bersedia memberikan kerjasama kepada kerajaan untuk pelaksanaan aktiviti berkaitan kreatif.
Pada masa sama, beliau turut mencadangkan Skim Insuran Rakyat Sabah dikembangkan sebagai Skim Insuran Kreatif Sabah bagi memberi perlindungan insuran percuma kepada semua penggiat seni kreatif Sabah.
”Sebelum ini melalui inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan oleh Finas dengan kerjasama Perkeso, penggiat kreatif Malaysia telah diberikan perlindungan insuran percuma selama setahun.
“Insuran ini penting kerana Finas mengkehendaki semua tenaga kerja dan pelakon perlu mempunyai perlindungan insuran sebelum dibenarkan terlibat dalam penggambaran,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Jawatankuasa Tindakan Industri Kreatif Sabah (Jatiks) Andrew Ambrose berkata jawatankuasa itu akan sentiasa memantau dan tidak akan membenarkan entiti luar untuk menguasai khazanah aset ekspresi kebudayaan Sabah dan ia merupakan satu pengkhianatan jika dibiarkan.
Terdahulu, Chester membentangkan asas pelan kreatif Sabah yang merangkumi sembilan kategori iaitu Latihan Kemahiran, Dana Sokongan, Platform Tayangan dan Pawagam, Penyertaan Antarabangsa dan Pengiktirafan, Pasaran Antarabangsa, Sokongan Penggambaran dan Permit, Sokongan Peralatan dan Studio, Bantuan Insuran dan Bantuan Pinjaman Modal.
Pembantu Menteri itu dilihat amat tertarik dengan kandungan pembentangan dan meminta satu kertas kerja cadangan penuh disediakan untuk dibawa ke peringkat seterusnya untuk diperhalusi dan tindakan lanjut.
Beliau turut berjanji akan memberikan perhatian khas bagi memastikan penggiat kreatif dan seni Sabah tidak terpinggir.
Turut hadir pada pertemuan terbabit ialah Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun, Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Datuk Mazlan Joe Manan dan Setiausaha Perhubungan Awam Kementerian Kewangan Sabah Mohd Fareez Aznul Adnan.
Penasihat Safva Katak Chua, Setiausaha Agung Jade Morris, Ketua Penerangan Sahara Usli Eco Safva Wiliam Chiang dan Gregory Giting Penolong Pengurus Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (Scenic) Eva Chris Anthony serta Pegawai Khas kepada Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) Ariff Adi Petera Anwar juga hadir.