Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 45 tahun didenda RM1,800 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menyerang jirannya berhubung pertikaian membabitkan sistem perparitan tersumbat, tahun lalu.
Rudi Matshah mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvun kerana melakukan jenayah itu ke atas Merin Sidin pada 23 September 2024, jam 6 petang di Kg Kalansanan, Inanam.
Pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwaan, pengadu membuat laporan polis pada malam yang sama dan memaklumkan bahawa dia telah ditampar oleh Rudi ketika berlaku pertengkaran antara mereka.
Rudi menampar pipi kiri pengadu sehingga menyebabkan kesakitan.
Kejadian itu berpunca daripada pertikaian mengenai saliran yang tersumbat hingga menyebabkan air kotor dan bau busuk mengalir dari rumah Rudi ke rumah pengadu.
Siasatan mendapati Rudi mengaku menampar pengadu kerana berang apabila pengadu enggan memberi kerjasama ketika dia meminta penjelasan mengenai longkang yang ditutup oleh pengadu.
Dalam kes berasingan, dua lelaki didakwa memiliki Mitragynine, atau lebih dikenali sebagai ketum – racun berjadual di bawah Akta Racun.
Al Haidir Kasan Nasser, 35, dan Suhaimi Julali, 41, mengaku bersalah memiliki 1,500ml bahan itu yang disenaraikan dalam Jadual Ketiga (Bahan Psikotropik) di bawah Akta Racun 1952, pada jam 5.30 petang, 30 Julai lalu di kawasan letak kereta Plaza Kingfisher, Inanam.
Pertuduhan, mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 itu, memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh.
Mahkamah menetapkan 6 Oktober untuk sebutan dan membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM1,700 bersama dua penjamin setiap seorang.
Inspektor Yusdi Basri mengendalikan pendakwaan.