Kuala Lumpur: Mayat Zara Qairina Mahathir perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar Tingkatan Satu berkenaan, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC).
AGC dalam kenyataan Jumaat memaklumkan pihaknya meneliti laporan penuh siasatan awal yang telah dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian Zara Qairina.
“Jabatan ini berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
“Sehubungan itu, laporan penuh siasatan awal telah dikembalikan semula kepada PDRM bersama beberapa arahan, termasuk keperluan untuk menggali semula mayat Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah,” menurut kenyataan itu.
Menurut AGC, langkah itu bertujuan memastikan PDRM memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian pelajar berkenaan.
Isnin lepas, AGC memaklumkan pihaknya telah menerima laporan penuh siasatan awal berhubung kes itu pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata laporan itu diserahkan semula Selasa lalu berserta arahan berhubung beberapa perkara untuk dibuat penelitian.
“Kita telah beri arahan tertentu, maknanya ada beberapa benda kita perlu ‘compile’ balik. Saya tidak boleh nak cakap secara terperinci kerana siasatan masih dijalankan tetapi ada perkara yang perlu dilengkapkan,” katanya Selasa lalu.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.
Pelajar itu dibawa ke hospital terbabit selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi 16 Julai lepas.
Di KOTA KINABALU, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata penularan semula video lama melibatkan insiden pergaduhan pelajar di negeri ini dibimbangi memberi kesan negatif kepada mereka yang telah melalui proses pemulihan di peringkat sekolah.
Katanya, beliau menyedari beberapa video telah ditularkan di media sosial sejak kebelakangan ini dan memberi impak yang tidak sihat kepada pelajar itu sendiri.
“Saya mendapati ada kes-kes melibatkan murid atau pelajar di luar kawasan sekolah yang berlaku beberapa tahun lepas, ditularkan semula walhal perkara itu telah pun selesai pada ketika itu.
“Penularan ini sangat tidak sihat kerana pelajar yang terlibat pada ketika itu ada yang masih belajar di sekolah menengah ataupun di kolej. Sikap mereka sudah pun terbentuk berikutan intervensi dan bimbingan oleh pihak sekolah.
“Sudah tentu penularan semula kes itu memberi kesan yang kurang baik kepada mereka yang terlibat kerana mereka juga ingin membina kehidupan yang bermakna,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.
Beliau diminta mengulas satu rakaman video yang dimuat naik Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang memaparkan sekumpulan pelajar perempuan membelasah rakan mereka.
Mengulas mengenai rakaman berdurasi satu minit itu, Raisin memaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku pada 2023 dan telah pun menjadi kes polis.
“Kes ini telah selesai pada tahun itu juga. Kes selesai,” tegasnya.
Dalam hantaran tersebut, Bung Moktar mendakwa kejadian itu melibatkan pelajar sebuah sekolah menengah di Kota Kinabalu dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera.
“Mereka yang terlibat harus dikenakan hukuman,” tulisnya dalam hantaran berkenaan pada Khamis.
Isu buli mendapat perhatian ramai sejak kebelakangan ini, susulan kejadian yang menimpa Allahyarhamah Zara Qairina.