TAMPARULI: Pengguna Jalan Tamparuli - Togop KM2.1 di sini, merayu agar pembinaan semula jambatan bailey bagi menyeberangi Sungai Bawang yang musnah oleh banjir besar sejak Julai tahun lalu, disiapkan secepat mungkin.
Tinjauan mendapati, kira-kira 1,000 penduduk membabitkan tujuh kampung di daerah ini menggunakan laluan sementara yang kini didakwa tidak selamat digunakan.
Difahamkan, laluan sementara itu dibina untuk memudahkan penduduk Kampung Bawang, Kiwoi, Togop, Lingga, Bambangan Lama, Namadan dan Rangalau Lama keluar ke Pekan Tamparuli atau daerah lain.
Turut menggunakan laluan itu adalah guru serta murid membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang, SK Togop, SK Lingga dan SK Rangalau Lama.
Bagaimanapun, pembinaan jambatan baharu menyeberangi sungai itu didakwa tidak mengikuti tarikh pembinaan selain pembinaan yang lewat dimulakan dan laluan sementara yang tidak selamat digunakan. Pengguna laluan berkenaan, Hamidah @ Catherina Jasin Abdullah, 42, berkata, laluan sementara yang dibina berhampiran jambatan bailey yang musnah itu mengalami mendapan.
“Apa saya dapati, mendapan itu berlaku setiap kali hujan atau dilalui jentera berat dan walaupun dibaiki semula oleh pekerja kontraktor, ia tetap berisiko untuk runtuh pada bila-bila masa.
“Ia sangat berbahaya kepada lalu lintas jika tidak berhati-hati ketika melaluinya kerana struktur binaannya tidak kukuh.
“Kami (pengguna) bimbang menggunakan laluan jambatan sementara itu dalam tempoh berpanjangan,” ujarnya.
Hamidah yang mewakili sebahagian penduduk sekitar berharap jambatan baharu yang sedang dibina, mampu disiapkan bagi mengelak sebarang insiden buruk berlaku.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, dalam pertanyaan Lisan di Sidang Dewan Rakyat pada Khamis lalu, mendesak kerajaan dan agensi pelaksana untuk mempercepatkan pembinaan projek menaik taraf jambatan terbabit.
Menurutnya, projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu mengalami kelewatan hampir tiga bulan dari tarikh penyiapan sebenar.
“Jambatan ini penting untuk laluan menuju ke empat buah sekolah rendah serta merupakan laluan utama bagi penduduk tujuh kampung,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.
Beliau turut meminta KKDW menyatakan status pembinaan projek menaik taraf jambatan itu yang sepatutnya dijadualkan siap pada September ini.
Kementerian itu dalam satu jawapan bertulis memaklumkan, projek menaik taraf jambatan konkrit sepanjang 20 meter dan selebar 10 meter diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP2, RMK-12) 2024, dengan kos RM2.35 juta.
“Projek ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah. Sehingga 30 Jun 2025, kemajuan fizikal projek hanyalah 47.15 peratus, jauh ketinggalan berbanding jadual asal iaitu 63.06 peratus, dengan kelewatan sebanyak 15.91 peratus atau bersamaan 95 hari.
“Antara punca kelewatan utama yang dimaklumkan adalah keadaan cuaca buruk dan banjir yang menyebabkan jambatan sementara roboh dan hanyut beberapa kali,” jelas KKDW.
Bagaimanapun, kementerian itu memaklumkan, JKR Sabah sudah mengambil tindakan meluluskan lanjutan masa (EOT) kepada kontraktor yang terlibat.
“Tarikh siap baharu projek ini kini dijadualkan pada 14 November 2025.”