Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 44 tahun yang mencabul seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun ketika mabuk dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan dua kali sebatan rotan.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Wong Chee Shin selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.
Wong melakukan amang seksual fizikal dengan meraba paha kanan mangsa pada jam 7.35 malam, 13 Julai lalu di sebuah kedai runcit di Taman Suria, Penampang.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Wong menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap.
Semasa mitigasi, Wong yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia perlu menjaga lima adiknya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan, mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kesalahan terbabit.
Mahkamah dimaklumkan seorang lelaki tidak dikenali yang berada di bawah pengaruh alkohol telah menghampiri mangsa dan bertanya apa yang ditontonnya di telefon bimbit.
Lelaki itu yang kemudian dikenal pasti sebagai Wong, selepas itu duduk di sebelah mangsa, meletakkan tangannya di paha kanan mangsa dan merabanya.
Mangsa yang tidak selesa dengan perbuatan Wong kemudian terus bangun, berlari mendapatkan bapa saudaranya dan memaklumkan kejadian berkenaan.
Bapa mangsa kemudian membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh abangnya dan susulan laporan itu, Wong ditahan.
Siasatan mendapati Wong melakukan amang seksual terhadap mangsa dan rakaman CCTV menunjukkan perbuatannya terhadap kanak-kanak terbabit.