Kota Kinabalu: Parti Liberal Demokratik (LDP) berkata kematian remaja berumur 13 tahun, Zara Qairina Mahathir mendedahkan kegagalan sistemik dalam melindungi kanak-kanak dan menegakkan keadilan.
“Ini bukan sekadar mengenai kematian seorang kanak-kanak. Ia adalah soal sama ada kita sanggup berdepan kegagalan sistemik dan mengambil tindakan sebenar untuk memastikan perkara ini tidak berulang lagi,” kata Presidennya, Chin Shu Ying.
Jabatan Peguam Negara mengarahkan supaya mayat Zara digali semula untuk pemeriksaan bedah siasat baharu, yang disambut baik oleh LDP sebagai langkah penting untuk mendapatkan kebenaran dan memulihkan keyakinan awam.
Bagaimanapun, beliau berkata insiden itu perlu menjadi pemangkin kepada pembaharuan institusi yang lebih menyeluruh, bukan sekadar siasatan tunggal.
Parti itu menggesa penubuhan sebuah panel siasatan bebas yang terdiri daripada pakar undang-undang, pejuang perlindungan kanak-kanak, pakar perubatan dan wakil masyarakat sivil bagi memastikan pemantauan yang bebas dan tidak memihak.
Berhubung keselamatan sekolah, LDP menggesa liputan warden 24 jam diwajibkan di semua kemudahan asrama, pemasangan kamera litar tertutup di kawasan umum dan kawalan akses yang selamat.
Parti itu turut mencadangkan program pendidikan anti-buli wajib serta latihan tahunan keselamatan untuk kakitangan pendidikan, selain saluran aduan sulit bagi membolehkan pelajar menyuarakan kebimbangan tanpa takut dikenakan tindakan balas.
Agenda reformasi parti itu turut meliputi pindaan undang-undang, termasuk pengukuhan undang-undang yang meletakkan akauntabiliti jelas ke atas institusi pendidikan terhadap keselamatan pelajar, serta hukuman lebih tegas bagi kecuaian atau usaha menutup kesalahan oleh pihak bertanggungjawab.
Turut dicadangkan, pelaporan awam secara wajib bagi insiden serius di sekolah berserta pelan tindakan susulan.