Kota Kinabalu: Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun menolak dakwaan ketua pembangkang Datuk Seri Shafie Apdal bahawa pentadbiran Warisan sebelum ini berjaya melangsaikan hutang negeri berjumlah RM1 bilion pada 2019.
Dalam satu kenyataan di sini, Ahad, Masidi berkata bayaran balik hutang terbabit bukan hasil pengurusan kewangan kerajaan Warisan, sebaliknya disebabkan oleh pelan terancang yang telah dilaksanakan oleh pentadbiran Barisan Nasional terdahulu.
“Bon RM1 bilion yang dimaksudkan itu telah dikeluarkan pada Disember 2014, dengan Bank Negara Malaysia mensyaratkan negeri menubuhkan Dana Penampan (Sinking Fund) khas bagi memastikan bayaran balik dapat dibuat.
“Di bawah terma bon itu, negeri diwajibkan mendepositkan RM200 juta setiap tahun ke dalam dana ini selama lima tahun sehingga 2019,” katanya.
“Apabila pentadbiran Warisan mengambil alih pentadbiran pada 2018, sebahagian besar dana yang diperlukan untuk pembayaran balik telah pun tersedia.
“Bayaran itu adalah hasil daripada perancangan kewangan berhemah yang telah disusun oleh pentadbiran terdahulu bertahun-tahun sebelum bon itu matang,” katanya.
Masidi berkata jumlah RM1 bilion yang tersedia dalam Dana Penampan pada 2019 membolehkan pembayaran sekali gus (bullet payment) dibuat untuk melangsaikan hutang bon sepenuhnya, sekali gus menolak dakwaan Shafie mengenai pengurusan kewangan yang lebih baik.
“Oleh itu, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa bayaran balik ini adalah hasil daripada tindakan khas oleh Warisan,” katanya.
Tambah Masidi, pentadbiran sekarang komited memastikan rakyat diberikan maklumat yang jelas dan tepat mengenai kewangan negeri serta tidak akan membiarkan kenyataan yang mengelirukan dibiarkan tanpa penjelasan.