TELUPID: Lima buah kedai, sederet rumah sewa dan sebuah rumah di pekan Telupid musnah sepenuhnya dalam kebakaran awal pagi Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Edoen Macheal berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.09 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian pada jam 3.23 pagi.
“Kebakaran melibatkan lima buah kedai jenis kayu dengan anggaran keluasan keseluruhan 100 x35 kaki persegi.
“Turut terbakar sederet rumah sewa 13 pintu dengan anggaran keluasan keseluruhan 70x20 kaki persegi. Kedua-dua premis berstruktur kayu ini telah terbakar sepenuhnya.
“Selain itu sebuah rumah berstruktur separa kayu berkeluasan 20x20 kaki persegi turut terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut beliau menyatakan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 6.28 pagi dan tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut.
Sementara itu di Sandakan,sebuah premis bekas bengkel jentera berat berkeluasan 30x60 kaki persegi di Jalan Pertukangan, Batu 1.5 terbakar lebih 90 peratus pada hari sama.
Ketua Balai BBP Sandakan Jimmy Lagung berkata pihaknya telah menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada jam 1.35 pagi dan tiba di lokasi pada jam 1.41 pagi.
“Turut terlibat dalam kebakaran adalah bangunan berhampiran yang dijadikan rumah pekerja berkeluasan terbakar sekitar lima peratus,” katanya.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu dan operasi pemadaman tamat pada jam 2.07 pagi.
Punca dan kos melibatkan kedua-dua insiden kebakaran ini masih dalam siasatan.