Fri, 12 Jun 2026
Headlines:
Audit keselamatan semua sekolah
Published on: Tuesday, August 12, 2025
Published on: Tue, Aug 12, 2025
Text Size:
Text:
Audit keselamatan semua sekolah
Mohd Azam berkata audit itu memberi tumpuan kepada pematuhan semua prosedur operasi standard (SOP) yang terkait dengan aspek keselamatan. 
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil beberapa langkah penting bagi memastikan isu keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaan kementerian itu terpelihara, antaranya melaksanakan audit keselamatan di semua institusi pendidikan termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan asrama harian.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad dalam kenyataan Isnin berkata audit itu memberi tumpuan kepada pematuhan semua prosedur operasi standard (SOP) yang terkait dengan aspek keselamatan. 

Advertisement
“Hasil laporan audit ini akan dibentangkan kepada Pengurusan Tertinggi KPM dalam tempoh tiga bulan. Kementerian juga akan menambah baik SOP keselamatan sekolah dan langkah-langkah bagi menangani isu disiplin termasuk salah laku buli di semua institusi pendidikan KPM. 

“SOP dan garis panduan sedia ada akan dikaji semula bagi memastikan ia relevan dengan keperluan semasa dan akan datang,” katanya.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Selain itu, Mohd Azam berkata sistem aduan sedia ada termasuk portal Aduan Buli akan direformasikan, dipermudahkan dan mempunyai pilihan anonim bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.

Langkah itu susulan kemarahan orang ramai berhubung kematian Zara Qairina Mahathir, 13, yang ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Sabah.

Advertisement
Mayatnya kemudian digali semula untuk bedah siasat susulan dakwaan kejadian buli, sementara ribuan orang mendesak agar siasatan dijalankan secara telus.

Beliau berkata pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa reformasi keselamatan institusi pendidikan KPM, bagi memastikan aspek keselamatan diperkasakan. 

Advertisement
“Keahlian jawatankuasa ini melibatkan ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO), pakar pelbagai bidang, pihak polis dan Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS).

“KPM tidak berkompromi terhadap salah laku buli dan tindakan tegas mesti diambil termasuk menerusi hukuman gantung dan buang sekolah,” katanya.

Mohd Azam berkata program intervensi ‘Bangkit Bermaruah’ yang menumpukan kepada aspek khidmat komuniti dan pembangunan sahsiah diperkenalkan khusus untuk murid yang digantung sekolah.

“Pentadbir, guru serta pegawai di pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri yang tidak menguruskan aduan buli berdasar kepada garis panduan sedia ada akan dikenakan tindakan.

“Aspek sokongan psikososial terus diperkukuhkan di setiap peringkat demi memastikan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah,” katanya, menambah Guru Bimbingan dan Kaunseling berperanan penting dalam usaha pencegahan dan intervensi menangani salah laku buli.

Pada masa sama, Mohd Azam berkata KPM menyeru semua pihak untuk bekerjasama menangani salah laku buli secara menyeluruh dan bersepadu. 

Dalam suatu majlis di Kuala Terengganu, Dr Mohd Azam berkata KPM mengarahkan semua pengarah pendidikan negeri dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah secara mengejut, sebagai langkah memastikan gejala buli di sekolah dapat dibendung.

Beliau berkata pengarah dan pegawai berkenaan juga perlu turun ke sekolah berasrama pada waktu malam, bukan sahaja untuk memantau malah mendekati dan memahami kehidupan pelajar di asrama.

“Mungkin kita kena turun tanpa ada perancangan dan tanpa diberitahu. Kita turun ke sekolah, tengok keadaan sekolah, kita nak tengok nature sekolah itu macam apa berlaku. Kita mungkin turun malam nak tengok di asrama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Guru Madani dan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Tingkatan Enam di sini pada Isnin, disempurnakan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Mohd Azam berkata kementerian juga mengarahkan pengetua dan pengetua mewajibkan laungan “Kami Benci Buli” sebelum dan selepas sesi persekolahan, sebagai peperangan terhadap gejala buli yang diperjuangkan KPM.

Beliau berkata laungan itu bertujuan menanamkan rasa benci terhadap gejala buli dalam minda dan diri pelajar serta murid.

Mohd Azam berkata pihaknya juga akan menambah baik ciri-ciri keselamatan di sekolah terutama sekolah asrama, bagi mengekang kejadian buli seperti penambahan kamera litar tertutup (CCTV) dan bilangan warden asrama.

Pada masa sama, beliau juga meminta semua pihak termasuk guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan komuniti setempat supaya memainkan peranan dalam memastikan keselamatan pelajar di asrama, terutama pada waktu malam.  

Mohd Azam turut menggesa orang ramai supaya tidak berhimpun di hadapan atau memboikot SMKA Tun Datu Mustapha di Limauan, Kinarut, Sabah.

Beliau memberi jaminan bahawa Kementerian, termasuk Menteri dan pengurusan tertinggi, komited memastikan keadilan untuk Zara.

Katanya, keadilan juga perlu diberikan kepada pelajar dan guru sekolah berkenaan, di samping menjaga kesejahteraan emosi serta psikologi mereka.

“Saya percaya pihak berkuasa akan melaksanakan tugas sebaik mungkin.

“Di peringkat Kementerian, Menteri akan memberi sokongan penuh,” katanya.

Azam sekali lagi mengulangi gesaan Kementerian supaya orang ramai mengelak tindakan negatif terhadap sekolah tersebut, termasuk mengadakan demonstrasi di kawasan sekolah.

Beliau berkata, Kementerian telah mengambil langkah memperkukuh keselamatan pelajar, termasuk menambah bilangan warden serta mempercepat CCTV.

“Saya telah mengarahkan Lembaga Pemeriksa menjalankan audit keselamatan harian bagi sekolah dan asrama, dengan pelaporan segera,” katanya.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here