LAHAD DATU: Seorang lelaki warga Filipina berusia 21 tahun maut manakala pemboncengnya cedera parah apabila motosikal Honda EX5 yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Alza dan Proton Saga di KM80, Jalan Lahad Datu-Tungku, di sini, Ahad lalu.
Difahamkan, kedua-duanya dalam perjalanan dari Cenderawasih menuju ke Tungku apabila kemalangan berlaku kira-kira jam 3 petang.
Ketua Polis Daerah, ACP Dzulbaharin Ismail, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal itu terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.
“Oleh kerana jarak terlalu dekat, pemandu Perodua Alza tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal tersebut, menolaknya ke tengah garisan berkembar.
“Motosikal yang kini berada di tengah garisan berkembar kemudiannya dilanggar oleh sebuah Proton Saga, menyebabkan ia terbabas ke bahu jalan,” katanya.
Menurut beliau, impak perlanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal maut di lokasi kejadian, manakala pemboncengnya cedera parah.
Pemandu Perodua Alza dan Proton Saga tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis turut meminta saksi kejadian atau individu yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Insp Humaidi Harun pada talian 089-881255 atau hadir ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, di TENOM, dua lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Wira dan Toyota Double Cab di hadapan SJKC Tsi Sin.
Pemandu Proton Wira berusia 22 tahun mengalami patah kaki dan diberi rawatan awal oleh anggota bomba sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk dihantar ke Hospital Tenom bagi rawatan lanjut.
Pemandu Toyota Double Cab berusia 18 tahun pula cedera ringan dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba.
Balai Bomba dan Penyelamat Daerah menerima panggilan kecemasan pada jam 8.41 malam dan lima anggota diketuai Komander Operasi, Shahril Sulaiman, bergegas ke lokasi bersama jentera.
Selepas memastikan tiada lagi ancaman bahaya, operasi ditamatkan pada jam 9.34 malam.