TAMBUNAN: Kontinjen Pensiangan muncul juara apabila mengutip sepuluh pingat emas, lapan perak dan empat gangsa pada Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sabah (MSSS) ke-13 yang berlangsung di Kompleks Sukan di sini.
Keningau di tempat kedua dengan lapan emas, 12 perak dan tujuh gangsa, manakala tempat ketiga milik Ranau yang membawa pulang enam emas, sembilan perak dan sepuluh gangsa.
Kota Kinabalu pula di tempat keempat dengan enam emas dan dua perak, manakala Penampang melengkapkan senarai lima terbaik dengan empat emas, satu perak dan satu gangsa.
Sebanyak 24 kontinjen dari semua daerah di seluruh Sabah menyertai 63 acara olahraga yang dipertandingkan dalam kejohanan ini, yang turut menyaksikan 17 rekod dipecahkan.
Sementara itu, atlet Kota Kinabalu Fredeena Fenny Fedrick Egat, yang meraih emas dalam acara lontar peluru dengan catatan 9.08 meter (m) sekali gus memecahkan rekod lamanya 8.71m yang dibuat pada 2024, terpilih sebagai Olahragawati Perempuan 12 tahun.
Atlet Pensiangan, Mohammad Danielhaziq Abdullah, yang memenangi emas dalam acara 200m (28.55s) dan gangsa dalam acara 100m (14.13s), dinobatkan sebagai Olahragawan Lelaki 12 tahun.
Atlet Sandakan Nurul Sahada Hawani Abdullah yang memecahkan tiga rekod baharu dan meraih tiga emas dalam acara 400m (65.86s), 200m (28.50s) dan 100m (13.93s), dinobatkan sebagai Olahragawati Perempuan 15 tahun.
Olahragawan Lelaki 15 tahun pula dimenangi atlet Beaufort, Mohamad Syahzwan William, yang membawa pulang tiga emas dengan tiga rekod baharu dalam acara lontar peluru (16.62m), lempar cakera (58.87m) dan lontar lembing (43.34m).
Atlet Pitas Nurul Sahirah Abdullah, yang memenangi dua emas – lontar lembing (28.14m) dengan rekod baharu dan lontar peluru (8.11m) – serta perak dalam lempar cakera (23.30m), terpilih sebagai Olahragawati Perempuan 19 tahun.
Sementara itu, atlet Tawau Mohammad Danial Amirul Azri yang turut memecahkan rekod baharu dalam acara 200m (22.9s) selain memenangi emas 400m (52.43s) dan perak 100m (11.65s), dinobatkan sebagai Olahragawan Lelaki 19 tahun.
Dalam ucapan penutupnya, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin berkata, kejohanan itu bukan sekadar pertandingan, malah simbol komitmen terhadap pendidikan inklusif.
“Atlet-atlet kita hari ini telah membuktikan bahawa kekurangan bukanlah penghalang kepada kejayaan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Sabah, Bernadette John.
Beliau berkata semangat kental mereka wajar menjadi inspirasi kepada semua dan mencadangkan agar kejohanan seumpama ini disusuli dengan program pemantauan bakat murid berkeperluan khas di peringkat daerah dan negeri, selain penyertaan lebih meluas dalam kejohanan peringkat kebangsaan supaya Sabah terus melahirkan atlet berkeperluan khas yang cemerlang.
Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Dr. Haison Jahudin, Pegawai Daerah Sobitun Makajil, pegawai dan timbalan pegawai pendidikan daerah serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, pengetua, guru besar, guru-guru dan ibu bapa.