Kota Kinabalu: Warisan tidak lagi boleh mendakwanya sebagai parti tempatan Sabah susulan tindakan melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia hampir empat tahun lalu, kata bekas pemimpinnya Datuk Norazlinah Arif (gambar).
Bekas Ketua Wanita Warisan itu berkata langkah berkenaan yang disifatkan strategi mengangkat Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kunak itu mendakwa cita-cita itu dibuat sedangkan ada kelemahan pada pengurusan pentadbiran Sabah ketika Shafie menjadi Ketua Menteri bermula Mei 2018 hingga September 2022.
"Sabah belum dapat urus ada hati pula mahu pergi Semenanjung.
"Cita-citanya jauh lebih besar daripada setakat di Sabah sahaja," katanya dalam temu bual bersama FMT.
Setahun selepas tewas PRN Sabah Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia secara rasmi pada 17 Disember 2021 dengan Shafie berjanji 'menjadi perdana menteri untuk semua' sekiranya menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Semporna itu berkata sudah tiba masanya melakukan perubahan dalam landskap politik negara den-gan menumpukan kesepaduan semua kaum.
Parti itu bertanding enam kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung pada Mac 2022 manakala mempertaruhkan 24 calon Parlimen dan 16 Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri lain di Semenanjung pada PRU15.
Bagaimanapun kesemuanya tewas termasuk bekas menteri pengangkutan Tan Sri Ong Tee Keat yang juga mantan presiden MCA di Pandan.
Warisan turut mencatat prestasi merosot di Sabah pada pilihan raya berlangsung November 2022 apabila hanya dapat mempertahankan tiga kerusi Parlimen berbanding lapan dimenangi lima tahun sebelumnya.
Timbalan Presiden Datuk Darell Leiking kalah di Penampang manakala Ketua Penerangan Datuk Azis Jamman gagal mempertahankan Sepanggar.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan Datuk Mohammad Mohamarin pula mendakwa perluasan sayap Warisan ke Semenanjung itu kurang disenangi segelintir pemimpin parti.
Beliau memberi contoh bekas naib presiden Datuk Peter Anthony yang bertindak keluar beberapa hari selepas pelancaran bahagian parti itu ke Malaysia Barat.
"Dahulu Warisan melaung-laungkannya sebagai parti tempatan dan lebih memperjuangkan rakyat.
"Tetapi kini Warisan tidak lagi jadi ke depannya saya berpandangan mereka tidak akan mendominasi politik Sabah," kata Adun Banggi itu yang keluar Warisan pada 6 Februari 2023.