Kota Kinabalu: Lima peguam yang mewakili keluarga remaja berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) mendakwa individu yang didakwa membuli pelajar berkenaan, susulan pendedahan bukti baharu oleh Bukit Aman.
Mereka merujuk kepada sidang media pada Rabu oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berhubung kematian Zara.
“Antara pendedahan utama beliau ialah hasil siasatan Pasukan Petugas Khas yang menemui bukti menunjukkan berlaku insiden buli sebelum kejadian melibatkan Zara,” kata mereka.
Lima peguam tersebut ialah Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
“Jika keterangan ini boleh diterima di mahkamah, kami mencadangkan supaya Peguam Negara mendakwa individu yang dinamakan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
“Di bawah seksyen ini, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali. Apabila langkah ini diambil, inkues tidak lagi diperlukan,” kata mereka.
Menurut mereka, jika bukti yang ada tidak kukuh atau tidak mencukupi untuk membentuk kesalahan di bawah seksyen sama, siasatan lanjut perlu diteruskan bagi mengukuhkan kes, sambil inkues dijalankan serentak.
Kenyataan itu juga menolak dakwaan “plot twist” yang tular di media sosial sejak beberapa minggu lalu, kononnya anak guam mereka bertanggungjawab atas kematian Zara.
“‘Plot twist’ itu adalah naratif jahat yang direka untuk memfitnah anak guam kami dan Zara,” kata mereka.
Mereka turut merakamkan penghargaan kepada Kumar dan Pasukan Petugas Khas kerana bertindak pantas menyiasat kematian Zara serta menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu.
“Jika anda bimbang atau memerlukan bantuan untuk berbuat demikian, anda boleh berjumpa dengan kami,” kata mereka.
Mereka turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah memberikan sokongan dan doa dalam usaha menuntut keadilan buat Zara.
Mereka turut menggesa orang ramai mengelakkan diri daripada membuat spekulasi tidak benar berhubung kematiannya.
Jumaat lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan terhadap jenazah pelajar berkenaan.
AGC memutuskan demikian selepas berpendapat wujud keperluan untuk siasatan lanjut oleh pihak polis demi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Berikutan itu, pada 9 Ogos, kubur remaja berkenaan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang di Sabah digali semula dan jenazahnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, untuk proses bedah siasat sebelum dikebumikan semula dua hari lepas di tanah perkuburan sama.