TAWAU: Hospital Tawau bakal menjadi pusat rujukan bagi pesakit jantung dari pantai timur Sabah sebaik projek Makmal Jantung Invasif (ICL) di hospital berkenaan dilaksanakan dalam masa terdekat, pusat pertama seumpamanya di wilayah itu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya telah mengenal pasti lokasi peralatan itu ditempatkan termasuk sistem infrastrukturnya, dan berharap ia dapat dibekalkan segera.
“Tender akan dikeluarkan dalam sebulan dua lagi,” katanya kepada media selepas meninjau perkembangan operasi ICL pertama di pantai timur Sabah itu semasa lawatan ke Hospital Tawau, Khamis.
Terdahulu, beliau merasmikan perkhidmatan Farmasi Pandu Ambil (Pharmacy Park & Take) di hospital berkenaan yang bertujuan mempercepatkan masa menunggu, memudahkan golongan warga emas, serta mengurangkan kesesakan di kaunter farmasi.
Dr Dzulkefly berkata, dengan adanya perkhidmatan ICL nanti, masa rawatan untuk menyelamatkan nyawa melalui prosedur door to balloon time bagi primary PCI boleh dijadikan kurang daripada 90 minit.
Makmal itu antara lain menawarkan prosedur diagnostik seperti angiografi koronari, kateterisasi jantung kanan/kiri, rawatan intervensi serta perkhidmatan rawatan berkaitan lain.
Menurut beliau, perkhidmatan pantas untuk pesakit kardiovaskular itu amat dinanti-nantikan penduduk Sabah, khususnya di pantai timur, memandangkan sebelum ini pesakit serangan jantung atau penyakit jantung kritikal perlu dirujuk ke pusat rawatan jauh seperti Kota Kinabalu, yang menyebabkan kelewatan rawatan dan meningkatkan risiko komplikasi.
Malah, kewujudan ICL ini dijangka menjimatkan kos dan masa kerana tidak lagi memerlukan pemindahan jarak jauh yang mahal serta memakan masa.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut merasmikan bangunan baharu Kesihatan Ibu dan Anak (KIA) di Klinik Kesihatan Merotai Besar, yang dinaik taraf seiring dengan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan primer di kawasan luar bandar.
Bangunan KIA baharu itu dilengkapi ruang konsultasi lebih luas, bilik bersalin mesra ibu dan selamat, serta kemudahan rawatan kanak-kanak yang lebih selesa, sekali gus meningkatkan keselesaan pesakit dan petugas.
Sempena program tersebut, beliau turut melancarkan inisiatif Farmasi Bergerak – Jalinan Kasih Demi Kesihatan Anak Merotai oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melibatkan sukarelawan menghantar ubat-ubatan dari rumah ke rumah pesakit menggunakan motosikal.