TAWAU: Kumpulan pentadbir dan pelajar kolej komuniti dan politeknik perlu menjadikan kes kematian Zara Qairina Mahathir sebagai iktibar dan berani melaporkan kes buli.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata peringatan serupa turut ditujukan kepada semua pemegang taruh di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini.
“Mohon laporkanlah terus kepada pihak pentadbir bagi membolehkannya dapat ditangani secepat mungkin.
“Kita tidak mahu akibat lama dipendamkan sehingga ada yang terkorban”, katanya pada Jelajah Pendidikan Tinggi Untuk Komuniti @ Sabah (JPTUK@S) Siri Tujuh di Felda Umas di sini pada Ahad.
Mustapha berkata Perdana Menteri memandang serius isu terbabit dan menggesa tindakan keras dikenakan terhadap sebarang pihak yang didapati membuli.
Ibu bapa juga diharap memainkan peranan penting dengan memulakan pendidikan atau pendedahan isu buli bermula dari rumah.
Menyentuh siri jelajah yang dijalankan Kementerian Pendidikan Tinggi itu, beliau menyifatkannya sebagai inisiatif memasyarakatkan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya kepada anak muda luar bandar.
“Kita percaya inisiatif melalui Jabatan Pendidikan Politeknik Kolej Komuniti (JPPKK) di dalam JPTUK@S ini amat dinanti masyarakat luar bandar yang memerlukan pendekatan khas.
“Misalnya Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) atau kursus jangka pendek dalam JPTUK@S seperti di Felda Umas ini, kita dapat membawa kepakaran dari kampus ke tengah komuniti bukan hanya menunggu mereka datang ke IPT” katanya.
Beliau menambah, program itu menunjukkan usaha berterusan kementerian memastikan ilmu pengetahuan dan kemahiran disampaikan secara meluas sehingga ke akar umbi masyarakat.
“Pendidikan dan pembelajaran bukan sekadar boleh dilakukan di bilik kuliah tetapi turut mengalir dalam kehidupan komuniti.
“Program-program ini dibangunkan bagi memenuhi keperluan industri serta membuka peluang pekerjaan yang luas dan memperolehi ruang untuk mengaplikasikan kemahiran dipelajari tanpa perlu mengeluarkan belanja yang banyak.
“Masyarakat diharap dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang ditawarkan kerana pendidikan kunci masa depan perubahan diri, keluarga, masyarakat dan negara selaras slogan ‘Pendidikan Tinggi Untuk Semua, Masa Depan Bersama’,” katanya.
Sebanyak tujuh kursus PSH diadakan sempena JPTUK@S kelolaan Kolej Komuniti Tawau di Felda Umas seperti Kursus Asas Pembuatan Sabun DIY, Asas Gubahan Bunga dan Coklat, Pembuatan Keropok Lekor dan Sos Pencicah, Resin Art dan Solarbot- Rekacipta Bot Jimat Tenaga, Pengenalan Sistem Gantungan dan Tayar Automotif.
Sementara itu, enam siri JPTUK@S yang berjaya dijalankan sebelum di Tawau pula membabitkan Kota Belud (5 Julai), Kota Kinabalu (3 Ogos), 2025 dan Kudat (9 Ogos), Kota Marudu (10 Ogos) serta PPR Batu Sapi Sandakan dan Segama Lahad Datu (16 Ogos).