SEPANGGAR: Ketua Pemuda Bahagian Darau Gagasan Rakyat Abqaree Fawwaz Abekan berkata Datuk Mustapha Sakmud sepatutnya memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah infrastruktur asas yang membelenggu kawasan Parlimen Sepanggar, daripada menuduh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai liabiliti politik.
Abqaree menegaskan aduan berterusan daripada penduduk Sepanggar masih wujud mengenai bekalan air yang tidak stabil, jalan berlubang, kesesakan lalu lintas serta gangguan bekalan elektrik kerap, yang didakwa belum ditangani meskipun sudah berkali-kali dibangkitkan oleh orang ramai.
“Malangnya, beliau dilihat lebih sibuk mencari kesalahan orang lain,” katanya.
Katanya, daripada mengkritik parti politik lain, Mustapha selaku Ahli Parlimen Sepanggar seharusnya mengutamakan kebajikan pengundi dan menunjukkan penambahbaikan yang nyata di kawasan yang diwakilinya.
Katanya lagi, liabiliti politik sebenar bukanlah GRS, sebaliknya kegagalan Mustapha yang didakwa tidak menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat Sepanggar, dengan mendakwa beliau lebih menumpukan perhatian kepada kemunculan di media nasional berbanding turun padang bersama komuniti tempatan.
“GRS komited terhadap kestabilan politik dan memperjuangkan rakyat Sabah,” katanya sambil mencabar Mustapha membuktikan keberkesanannya di kawasannya sendiri.