Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Dalit Datuk Jasnih Daya berkata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud seharusnya lebih berhati-hati ketika membuat kenyataan umum.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Mustapha yang menyifatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai liabiliti kepada Pakatan Harapan (PH).
“Kenyataan beliau (Mustapha) tidak berasas dan berpotensi menjejaskan keharmonian antara rakan-rakan gabungan kerajaan,” kata Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Pantai Dalit itu.
“Saya tidak pasti apa asas, motif atau objektif beliau merujuk GRS sebagai liabiliti kepada PH. Saya mempunyai ramai rakan dalam PKR dan PH, namun kesimpulan sebegitu jarang kedengaran,” kata Jasnih dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Sambil menghargai peranan media melaporkan pandangan pemimpin, Jasnih menasihati Mustapha agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan umum.
“Jangan terlalu teruja ketika memberi kenyataan, khususnya yang hanya menonjolkan kelemahan dan merosakkan diri sendiri. Paling penting, jangan menjadi sabotaj,” kata Jasnih.
Jasnih turut mengingatkan bahawa keyakinan diri yang berlebihan boleh membawa kepada sikap angkuh, yang akhirnya merosakkan imej seorang pemimpin.
“Ingatlah, tiada siapa yang tidak boleh digantikan,” tambahnya.
Beliau menyarankan agar perbezaan pandangan dibincangkan secara dalaman melalui saluran parti dan kepimpinan, bukannya didedahkan kepada umum sehingga mencetuskan kontroversi.
Jasnih berkata kestabilan politik di negeri ini mesti kekal menjadi keutamaan kerana ia berkait rapat dengan usaha pembangunan dan kesejahteraan rakyat di bawah dasar Sabah Maju Jaya kerajaan negeri.