Kota Kinabalu: Pasukan peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mengingatkan pempengaruh media sosial supaya tidak mengugut saksi atau menyebarkan cerita palsu berkaitan kematian Zara.
Hamid Ismail dan pasukannya berkata terdapat saksi, khususnya pelajar, yang enggan tampil kerana bimbang dengan ancaman netizen di media sosial.
“Saya menasihatkan orang awam yang mungkin berpotensi menjadi saksi supaya tampil kepada polis atau terus kepada pasukan kami.
“Kepada pempengaruh media sosial, tolong jangan menakutkan saksi.
“Kami mahu keadilan untuk Zara, tetapi dalam menuntut keadilan, janganlah sampai memfitnah atau mengugut pihak lain,” katanya.
Menurut Hamid, mereka berjumpa dengan beberapa individu yang takut kerana dituduh atau difitnah oleh pempengaruh.
Sementara itu, pasukan tersebut berkata mereka menyambut baik keputusan Peguam Negara untuk mendakwa suspek yang dikaitkan dengan kematian Zara Qairina, selaras dengan cadangan yang dikemukakan mereka awal bulan ini.
“Kami mengalu-alukan keputusan Peguam Negara. Ia selaras dengan cadangan yang kami kemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan media pada 14 Ogos 2025,” kata mereka dalam kenyataan bersama.
Mereka menjelaskan cadangan itu dibuat susulan pendedahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang mendedahkan bukti wujudnya unsur buli sebelum kematian Zara.
“Berdasarkan bukti tersebut, pendakwaan mesti dimulakan terhadap individu yang terlibat di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, peguam tersebut berkata setakat ini mereka belum mengetahui identiti individu yang akan didakwa atau peruntukan undang-undang khusus yang akan digunakan.
“Namun, kami berharap pertuduhan itu dikaitkan secara langsung dengan kematian Zara melalui seksyen berkenaan supaya hukuman lebih berat dapat dikenakan sekiranya sabit kesalahan,” kata mereka.
Kenyataan itu ditandatangani Hamid, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.