Kota Kinabalu: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) menggesa kerajaan negeri dan persekutuan memperkukuh program Sabah Malaysia Rumah Keduaku (Sabah-MM2H), pembangunan infrastruktur, dasar perumahan serta insentif pelaburan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan sektor hartanah di Sabah.
Presidennya, Datuk Johnny Wong Chen Yee berkata misi Shareda sentiasa jelas — bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memperkukuh ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat.
Berucap pada Shareda Nite ke-47 2025, beliau berkata tema tahun ini, “Affinity”, mencerminkan semangat kerjasama, kepercayaan dan hubungan erat antara pemaju, agensi kerajaan dan komuniti dalam membina masa depan bersama Sabah.
“Salah satu langkah ke hadapan ialah melalui program Sabah-MM2H kerana ia pemangkin utama kepada pengembangan ekonomi. Dengan memperkukuh inisiatif ini, program berkenaan mampu menarik lebih ramai pelabur, meningkatkan aliran modal, mewujudkan peluang pekerjaan serta memberi limpahan positif kepada ekonomi Sabah sambil mewujudkan persekitaran mesra pelaburan,” katanya.
Pada masa sama, Johnny menegaskan keperluan penambahbaikan berterusan terhadap infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik yang disifatkannya sebagai asas penting membuka lebih banyak kawasan baharu untuk pembangunan serta merangsang penglibatan sektor swasta.
“Apabila infrastruktur berkembang, peluang turut berganda. Bersama-sama, kita boleh menggerakkan kemajuan ekonomi Sabah yang lebih kukuh dan mampan,” katanya.
Beliau menegaskan Shareda komited menyediakan perumahan mampu milik untuk semua rakyat Sabah dan menyeru sokongan kerajaan melalui inisiatif seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi membantu pembeli rumah pertama mendapatkan pinjaman.
“Kami memohon agar peruntukan khas disalurkan untuk Sabah kerana cawangan bank tempatan di sini sering berdepan kelewatan mendapatkan kelulusan daripada ibu pejabat masing-masing.
“Langkah ini akan memastikan pembeli rumah di Sabah mendapat akses kepada dana berkenaan sebelum ia habis digunakan di tempat lain,” katanya.
Selain itu, Johnny mencadangkan agar kerajaan negeri memperuntukkan tanah yang sesuai kepada pemaju swasta bagi pembinaan rumah mampu milik, bagi menjamin kualiti serta harga berpatutan di samping membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.
Beliau berkata, Shareda Nite tahun ini turut menampilkan unsur kebajikan melalui kutipan dana untuk Persatuan Autisme Sabah.
“Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan kami bahawa pembangunan sebenar bukan hanya tentang apa yang dibina, tetapi tentang kehidupan yang kita sentuh di sepanjang perjalanan.
“Autisme memberi kesan kepada banyak keluarga dalam komuniti kita, dan Persatuan ini telah menjadi mercu tanda dalam aspek penjagaan, pendidikan dan pemerkasaan,” katanya, sambil mengajak hadirin menyumbang secara ikhlas.
Selaras dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) untuk menggalakkan pertumbuhan hijau dan lestari, Johnny berkata Shareda secara rasmi telah menandatangani perjanjian dengan GreenRE serta melantik DME Consultant sebagai penyelaras tunggal bagi inisiatif hijau persatuan.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, DME Consultant akan menawarkan khidmat rundingan awal bernilai kira-kira RM5,000 untuk membantu pemaju memahami dan memperoleh Sijil Hijau bagi projek mereka.
“Ekonomi yang kukuh juga mesti lestari. Ini merupakan langkah penting dalam mempromosikan pertumbuhan bertanggungjawab dan berdaya tahan untuk Sabah,” katanya.
Johnny turut menegaskan semangat “Affinity” terletak pada hubungan, tujuan bersama dan kepercayaan antara semua pihak.
“Marilah kita terus bekerjasama — bukan sekadar membangunkan projek, tetapi membina Sabah yang lebih baik, hijau dan bersatu untuk generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Shareda merangkap Pengerusi Penganjur acara berkenaan, Benny Ng Su Pei, berkata Shareda Nite 2025 diraikan dengan seruan kepada perpaduan, inovasi dan tanggungjawab sosial dalam membentuk masa depan industri hartanah Sabah.
Katanya, majlis gala tahun ini menghimpunkan pemaju, pemimpin kerajaan dan rakan industri bagi menghargai pencapaian, mengiktiraf sumbangan cemerlang serta mengumpul dana untuk tujuan amal.
“Malam ini kita berkumpul bukan sekadar meraikan kejayaan industri, tetapi juga memperkukuh semangat setiakawan, kemurahan hati dan visi bersama untuk masa depan.
“Pembangunan bukan hanya tentang bangunan dan ruang, tetapi tentang komuniti, kehidupan dan masa depan,” katanya dalam ucapan alu-aluannya.
Benny berkata, Shareda Nite 2025 turut memberi penghormatan kepada perintis industri dan mengiktiraf pemaju yang berjaya menetapkan penanda aras baharu dalam reka bentuk dan kelestarian.
Menyentuh evolusi sektor hartanah, beliau berkata industri itu telah berubah dengan ketara dalam tempoh dua dekad lalu.
“Jika dahulu industri ini ditakrifkan oleh batu-bata dan konkrit, kini ia dibentuk oleh kelestarian, teknologi, inovasi dan keterangkuman. Kita bukan sekadar usahawan dan pembina, tetapi pakar dalam persekitaran binaan dan komuniti.
“Kejayaan hari ini bukan hanya pada pembinaan bangunan, tetapi pada penciptaan ekosistem yang bermakna, ruang yang memberi inspirasi dan pembangunan yang bertanggungjawab terhadap manusia serta alam sekitar,” katanya.
Beliau turut menyeru industri agar menarik dan membimbing bakat muda kerana generasi baharu memainkan peranan penting dalam mengekalkan inovasi dan pembangunan berteraskan nilai.
“Industri hartanah tidak boleh bergantung kepada pengalaman semata-mata; ia memerlukan kreativiti, nilai dan semangat generasi muda.
“Tanggungjawab kita bukan sekadar membina untuk keuntungan, tetapi untuk legasi — dan legasi itu memerlukan hati serta minda mereka yang melihat industri ini sebagai satu panggilan, bukan sekadar kerjaya,” katanya.
Benny turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli, rakan kongsi dan tetamu atas sokongan berterusan, sambil menegaskan komitmen Shareda untuk terus memajukan industri melalui kerjasama, inovasi dan kepedulian.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam.